Peluang kerjaya untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut disediakan di Johor Career & Postgraduate Expo 2013 selama dua hari mulai Sabtu ini di KSL City yang dianjurkan PenExpo Events Sdn Bhd (PenExpo).

Pengarah Urusan PenExpo, Francis Wong berkata ini pertama kali mereka menyediakan peluang kerjaya untuk OKU dengan kerjasama Scope, Persatuan Orang Kurang Pendengaran Johor dan Double Blessing Centre.

Daripada keseluruhan 70 gerai, sebanyak empat gerai disediakan untuk OKU, katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata ekspo tersebut secara keseluruhan menyediakan 10,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan lebih 50 sektor dan industri dari Malaysia dan Singapura.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, M Asojan berkata ini pertama kali pihak swasta menganjurkan pameran seumpama itu di Johor dan menyeru para belia merebut peluang yang disediakan.

"Pameran ini boleh membantu mengurang krisis pengangguran di Johor terutama di kalangan remaja berdasarkan kelulusan mereka," katanya.