Tan Sri Abdul Wahid Omar menyifatkan pelantikannya sebagai pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul.

Ia juga lebih bermakna kerana beliau pernah berkhidmat dengan dua buah syarikat di bawah naungan PNB, iaitu Kumpulan Maybank (2008-2013) dan Kumpulan Amanah Capital yang kini menjadi sebahagian daripada Kumpulan MIDF (1994-2001).

"Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar untuk mengisi tempat yang sebelum ini disandang Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang telah banyak berjasa kepada PNB.

"Saya berjanji akan menjalankan tugas sebaik mungkin dengan jujur dan amanah," kata bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu juga Tan Sri Abdul Wahid turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera selain Lembaga Pengarah PNB di atas kepercayaan yang telah diberikan.

Datuk Seri Najib hari ini mengumumkan pelantikan Abdul Wahid sebagai Pengerusi PNB yang baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2016.

Semasa di Jabatan Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menyelia pelbagai agensi kerajaan termasuk Unit Perancang Ekonomi, Unit Kerjasama Awam-Swasta, Jabatan Perangkaan, Ekuinas, Talent Corporation, TERAJU dan Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera.