Ringkasan AI
- Selangor akan memasukkan pelancongan sukan dalam kalendar tahunan untuk merancakkan sambutan Tahun Melawat Selangor 2025.
- Aktiviti seperti berbasikal, pickleball, dan paragliding di Jugra dan Kuala Kubu Bharu dijangka menarik lebih ramai pelancong.
- Selangor menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong pada 2025, dengan pelbagai program pembangunan pelancongan sedang dirancang.
Beliau berkata pelbagai aktiviti sukan telah dan akan diadakan di Selangor, yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara, serta membantu mencapai sasaran kehadiran lapan juta pelancong.
"Kita juga sedang mempertimbangkan untuk memasukkan dua acara dalam kalendar tersebut, iaitu berbasikal dan pickleball.
"Selain itu, untuk sektor pelancongan sukan, kita mempunyai dua tapak paragliding di Jugra dan Kuala Kubu Bharu," katanya kepada media selepas melancarkan logo Tahun Melawat Selangor 2025 di pavilion Tourism Selangor sempena MotoGP Malaysia 2024 hari ini.
Amiruddin berkata pada tahun lepas, Selangor mencatatkan kehadiran 6.45 juta pelancong manakala tahun ini sasaran ditetapkan adalah tujuh juta.
Bagi mencapai sasaran kedatangan pelancong ke Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini telah meneliti beberapa perancangan, khususnya dalam program pembangunan pelancongan yang akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2025 yang dijadualkan pertengahan bulan ini.
"Beberapa tindakan telah dilaksanakan, antaranya memulihkan rumah inap desa di kawasan kampung untuk membolehkan mereka beroperasi dan menambah pendapatan," katanya.
Mengenai MotoGP Malaysia 2024, Amiruddin berkata seramai 200,000 pengunjung dijangka menghadiri hari terakhir penganjuran sukan bermotosikal itu yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lepas.
"Program seperti ini kita jadikan model bagaimana kita mahu menggalakkan pelancong melawat Selangor. Ini sedikit sebanyak akan memberikan anjakan kepada sektor pelancongan negeri," katanya.
Sepanjang tiga hari penganjuran MotoGP Malaysia 2024, Tourism Selangor telah mengadakan pelbagai program untuk mempromosikan sektor pelancongan Selangor, termasuk pameran pelancongan ekstrem serta pameran makanan dan buah-buahan tempatan.
-- BERNAMA