Seorang pelancong warga Perancis maut dirempuh kereta dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan ketika sedang berjalan kaki di hadapan sebuah kedai dobi layan diri di Taman Melaka Raya pada Ahad.

Dalam kejadian pukul 11.45 pagi itu, mangsa Tatarian Maurice, 64 tahun, dipercayai sedang cuba melintas persimpangan Jalan Melaka Raya 12 sebelum dirempuh kereta jenis BMW yang dipercayai hilang kawalan selepas bertembung dengan sebuah kereta Honda Jazz.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata, berdasarkan siasatan awal, kereta BMW dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun itu bergesel dengan kereta Honda Jazz yang dipandu lelaki berusia 27 tahun, menyebabkan kereta BMW itu hilang kawalan.

Kemalangan berakhir di hadapan kedai dobi layan diri. - Astro AWANI
Kejadian itu mengakibatkan mangsa dirempuh olehBMW berkenaan dan diseret kira-kira 20 meter sebelum tersepit antara kereta dan tiang bangunan kaki lima bangunan di hadapan kedai dobi layan diri.

Ujar Afzanizar, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan teruk pada badan dan kaki manakala pemandu kedua-dua kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, rempuhan oleh kereta BMW itu juga menyebabkan paip serta kerusi di kaki lima bangunan berkenaan rosak teruk.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka manakala kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.