KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bakal melancarkan Pelan Tindakan Bakau Sabah sebagai langkah mentransformasikan pengurusan dan pemuliharaan hutan bakau di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelan tindakan itu penting memandangkan Sabah mempunyai kira-kira 60 peratus atau 378,195 hektar hutan bakau.

"Sabah mempunyai hutan bakau terbesar di Malaysia jadi penting untuk kita mempunyai pelan tindakan yang akan menjadi panduan pengurusan dan pemuliharaan bakau.

"Ia juga selaras dengan inisiatif Karbon Biru, program global yang menumpukan kepada pemuliharaan ekosistem tepi laut demi iklim, biodiversiti dan kemakmuran rakyat," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet Jabatan Ketua Menteri di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata Kabinet negeri meluluskan pelan tindakan itu semasa mesyuarat mingguan dan bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Hajiji berkata Kabinet juga dimaklumkan bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Ketakdedahan sudah dimeterai antara Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan Petronas untuk projek Pemetaan Rumpai Laut dan inisiatif komuniti.

Beliau berkata projek dan inisiatif komuniti itu akan dilaksanakan selama lima tahun.

Kerjasama itu dijangka menyediakan peta pengedaran rumpai laut yang lengkap untuk digunakan sebagai rujukan bagi pemuliharaan, perlindungan dan pembangunan mampan ekosistem rumpai laut.

Hajiji berkata inisiatif komuniti anjuran kerajaan negeri melalui Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan Petronas akan melibatkan masyarakat di kawasan ekosistem marin dan rumpai laut dalam usaha pemuliharaan serta kesedaran.

"Ia juga dijangka menyumbang kepada inisiatif Ekonomi Biru Kerajaan Negeri," katanya.

-- BERNAMA