Kes seseorang yang ditangkap orang awam kerana dipercayai atau dengan jelas didapati melakukan kesalahan jenayah sering terjadi dalam masyarakat hari ini dan turut mendapat perhatian media.
Sama ada ditangkap orang ramai atas kes ragut, pecah rumah ataupun mencabul, pelaku kesalahan tersebut lazimnya akan menerima bukan sahaja makian malah serangan fizikal yang membawa kecederaan.
Dalam kes yang lebih teruk, ada pelaku jenayah yang dipukul hingga mati. Hal tersebut hanya menambah masalah dan terjadi kerana tiada pihak tampil menghalang tindakan ‘hukuman orang awam’ tersebut dan pada masa yang sama pihak berkuasa lewat tiba di tempat kejadian.
Pandangan umum
Dalam kes terbaru Rabu lalu, seorang remaja yatim piatu maut akibat dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah premis mencuci kenderaan iaitu tempat dia bekerja di Lebuh Carnovan, Georgetown, hanya kerana dituduh mencuri sesuatu dari tempat kerja.
Siapa yang sebenarnya bersalah dalam kes tersebut, biarlah menjadi tanggungjawab dan siasatan pihak polis. Peraturan dan undang-undang juga sedia untuk menghukum mana-mana individu yang melanggar ketetapan itu.
Dalam Facebook rasmi Astro AWANI, telah ditanyakan tentang isu ini untuk mengumpulkan pandangan umum.
“Mengapa hal ini boleh berlaku? Apakah punca yang mendorong mereka bertindak di luar batas perikemanusiaan? Adakah manusia semakin hilang kewarasan?” Tanya status tersebut, merujuk kepada orang awam yang mengambil tindakan di tangan sendiri.
Antara pendapat yang ditinggalkan pengguna Facebook adalah kecelaruan pertimbangan akal sebegitu terjadi kerana manusia hari ini sudah hilang perasaan sabar dan kasihan berikutan semakin banyak kes jenayah yang menganiaya mangsa terjadi.
Selain itu, tindakan ‘ganas’ orang awam yang menghukum juga adalah kerana ia dianggap saluran melepaskan geram akibat tekanan hidup yang disumbang faktor ekonomi dan persekitaran. Faktor lain yang menyumbang kepada perbuatan ganas tersebut, menurut pengguna Facebook, adalah pengaruh sikap dan kurang pegangan agama.
Seorang pengguna Facebook, Lawrence Nair, berpendapat ‘semuanya ada kaitan dengan cara seseorang itu dibesarkan dan pergaulan dengan golongan yang berakhlak buruk’.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Dalimah Hamzah pula berkata, ‘manusia hilang pegangan dan perikemanusiaan kerana kejahilan bermaharajalela’.
Jadi pengajaran
Dari suatu sudut lain, tindakan orang awam yang menangkap dan menghukum pelaku jenayah adalah sangat ‘dialu-alukan’, kata Pensyarah Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud.
“Saya sebenarnya amat suka orang awam jadi begitu. Saya telah menunggu sekian lama untuk melihat mesyarakat Malaysia berani bertindak pada mereka yang melakukan kesalahan atau jenayah.
“Pada pelaku jenayah, bersedialah dengan hukuman orang awam. Itulah cara kita mengajar sekelompok manusia yang tidak bertamadun," ujar beliau.
Menurut Fatimah, dengan cara begitu, kita sebenarnya mengajar lebih ramai orang jadi bertamadun dan benci pada golongan yang melanggar undang-undang.
Tambah beliau, selama ini masyarakat asyik menyerahkan segala tanggungjawab tersebut kepada pihak berkuasa, lalu golongan pelaku jenayah tidak takut pada masyarakat sekeliling.
Sekiranya orang awam sentiasa dalam mod ‘memantau dan menghukum’, pelaku jenayah secara tidak langsung semakin takut atau berkira-kira untuk berbuat jahat.
Begitupun, kata Fatimah, dalam pada hukuman umum memberi kepuasan pada sebahagian orang yang menganggap ia wajar, janganlah sampai hukuman tersebut mencederakan seseorang sehingga melampau apatah lagi menyebabkan kematian.
“Pada masa yang sama, situasi yang paling perlu dihindari orang ramai adalah hukuman umum yang boleh menimbulkan konflik antara kaum.
“Kaedah yang paling baik adalah, orang awam boleh membuat tangkapan umum jika ia tidak menjejaskan keselamatan diri. Seterusnya, serahlah kepada pihak berkuasa atau polis,” terang beliau.
Fatimah yang banyak menjalankan kajian mengenai perilaku masyarakat di negara ini juga bersetuju dengan pendapat bahawa pada asalnya, rakyat negara ini sangat santun, penyayang dan prihatin.
Namun, dengan lambakan orang asing khususnya golongan PATI, nilai-nilai murni tersebut ditenggelamkan dengan sifat dan sikap orang luar yang membelakangkan adab, melanggar undang-undang sesuka hati dan melakukan jenayah tanpa rasa takut.
Hamzah Hamid
Sat Jan 24 2015
Dalam kes remaja mati dibelasah lima lelaki di Georgetown Rabu lalu kerana didakwa mencuri, konsep 'hukuman awam' sudah dianggap melampaui batas. - Gambar fail
Guru ingin buat kerja sambilan perlu dapatkan kebenaran - Fadhlina
Guru yang ingin melakukan kerja sambilan perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan Malaysia terlebih dahulu.
Henti tol percuma musim perayaan langkah wajar - Pakar, aktivis
Keputusan kerajaan menghentikan pemberian tol percuma pada musim perayaan adalah langkah wajar.
AWANI Ringkas: Kes kematian bayi dibawa ke mahkamah
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
PSK perlu patuh syarat KDN jika mahu pemain naturalisasi - Hannah
Persatuan Sukan Kebangsaan yang berminat menggunakan pemain naturalisasi perlu mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Dalam Negeri.
SPRM tahan penjawat awam disyaki kemuka tuntutan palsu
Seorang penjawat awam direman enam hari disyaki membuat tuntutan palsu bagi penginapan hotel melibatkan 41 tuntutan palsu.
Ziyad tidak beraksi di Sukan SEA Thailand 2025
Bagaimanapun, beliau akan bertanding pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2025 yang dijadual berlangsung Januari tahun depan.
Kastam rampas mercun, dadah bernilai lebih RM1 juta
Jabatan Kastam merampas mercun dan bunga api serta dadah yang dianggarkan bernilai RM1.05 juta di empat lokasi sekitar Selangor.
Kerja pembaikan lintasan Rafah sedang dijalankan menjelang pembukaan semula
Lintasan itu mengalami kerosakan yang besar semasa serangan Israel selama 15 bulan yang disokong Amerika Syarikat (AS).
Surat kepada Editor: KWSP perlu pastikan dividen yang baik untuk ahli
KWSP harus erus fokus pada mandat terasnya, memaksimumkan pulangan supaya ahlinya dapat bersara dengan baik.
GDA patuh sepenuhnya syarat Suruhanjaya Sekuriti bagi ambil alih MAHB
GDA menyangkal sebarang andaian bahawa tawaran pengambilalihan MAHB telah dilakukan dalam cara selain daripada mematuhi sepenuhnya peraturan SC.
'Pelaku jenayah, bersedialah dengan hukuman orang awam', kata profesor
'Hukuman awam' melibatkan orang ramai mengambil tindakan sendiri dengan menangkap dan memukul orang yang melakukan kesalahan untuk memberi pengajaran.