Caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang dijadual dilaksana bermula Januari depan ditangguhkan bagi penyeragaman pelaksanaan di laluan Malaysia-Singapura dan Malaysia-Thailand.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata terdapat beberapa perkara sedang diperincikan yang memerlukan sedikit masa sebelum caj bagi ken­deraan a­sing masuk ke negara ini dilaksanakan di selatan dan utara tanah air.

"VEP masih memerlukan sedikit masa kerana kita mahu pelaksanaan ini (VEP) diseragamkan di selatan dan utara.

"Kita masih dalam usaha memastikan sempadan kita mempunyai sistem yang selari. Kita tidak mahu VEP hanya di laluan ke Singapura tetapi tidak dilaksana di laluan ke Thailand," katanya.

Beliau yang juga Presiden MCA berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bersama masyarakat Paloh pada Ahad

Liow berkata VEP diyakini akan dilaksana tahun depan dan beliau akan mengumumkan tarikh pelaksanaan sistem itu selepas beberapa perkara dimuktamadkan.

-- BERNAMA