Lebih 2,000 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama-sama kakitangannya hari ini bekerjasama menghantar bantuan kepada mangsa banjir sekitar Kuantan.

Sukarelawan muda ini dikerah menghantar sumbangan yang diterima pihak universiti ke pusat-pusat pemindahan seluruh daerah terbabit.

Ketua Operasi Bilik Gerakan Banjir UMP, Abdul Rahman Safie berkata, penghantaran bantuan adalah berdasarkan permintaan yang diterima.

"Kami terima bantuan daripada staf, pelajar, pihak NGO serta orang perseorangan. Kami hantar bantuan yang diterima berdasarkan respon daripada pusat pemindahan yang menghubungi kami," Abdul Rahman berkata.

Selain menghantar bantuan makanan dan keperluan asas, mereka turut menjalankan aktiviti membersihkan rumah-rumah dan kediaman yang ditenggelami air.

"Bermula hari Rabu lagi kami sudah mula menghantar bantuan sehinggalah ke hari ini ke seluruh kawasan banjir sekitar Kuantan.

"Kami menjalankan pembahagian pakaian, memasak bersama sukarelawan lain serta kerja-kerja membersihkan rumah," kata penolong ketua operasi misi banjir pelajar UMP, Mohamad Amirul Anuar.