Sekumpulan pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Port Dickson menghasilkan pelindung muka (face shield) untuk dibekalkan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 seluruh negara.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberitahu, usaha itu dilakukan sebagai mengisi masa terluang pelajar yang berada di kampus dengan menghasilkan alat perlindungan diri (PPE) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Penghasilan pelindung muka tersebut menggunakan teknologi potongan laser serta cetakan 3D.


"Ianya telah berjaya menghasilkan 1,220 unit sejak bermulanya PKP kira-kira sebulan yang lalu," katanya menerusi akaun Twitter rasmi KPT pada Ahad.


Sementara itu, Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi ciapan balas di akaun Twitternya mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar berkenaan yang memanfaatkan kepakaran bagi membantu kerajaan memerangi COVID-19.


"Terima kasih anak-anak pelajar Politeknik Port Dickson guna kepakaran untuk membantu pejuang barisan hadapan.Syabas!" ujarnya.