Seorang remaja lelaki telah mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai johan dalam pertandingan 2015 Microsoft Office Specialist World Champion di Dallas, Amerika Syarikat.

Remaja berkenaan, Admon Lee Wen Xuan, terpilih sebagai pemenang menewaskan 145 peserta dari 47 buah negara.



Admon, 16, mendapat tajaan Litespeed Education Programmes Sdn Bhd untuk memperkenalkan idea dan kebolehannya di pertandingan yang menarik lebih 600,000 penyertaan itu.

Setiap tahun, pelajar dari seluruh dunia mempertaruhkan idea dan kecekapan mereka mengendalikan produk Microsoft PowerPoint dalam pertandingan tersebut.

Admon membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai AS$7,500 (RM30,000), selain tiket ke Taman Tema Six Flags di Texas.