Pengarahnya Muhammad Nasir Samad berkata inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban mangsa banjir yang kerugian ribuan ringgit selepas pelbagai barangan rumah serta perkakasan elektrik ditenggelami air.
Beliau berkata antara peralatan yang dihantar termasuk peti ais, mesin basuh, pendingin hawa, kipas, televisyen, cerek elektrik dan seterika.
"Program seumpama ini kita telah mulakan pada 2021 untuk membantu meringankan beban kewangan penduduk terjejas banjir.
"Untuk program ini kita libatkan pelajar akhir tahun yang sudah memiliki kemahiran dalam bidang teknologi elektrik kuasa," katanya ketika ditemui di Program Bantuan Teknikal Program Tanggungjawab Sosial Korporat Teknikal Ihsan MADANI Wira Kesuma Pascabanjir di Taman Desa Tanjung Damai (TDTD) di sini, semalam.
Muhamad Nasir berkata pihaknya menyasarkan untuk membaiki 200 unit perkakasan elektrik pada program kali ini.
Bagi memudahkan orang ramai, ILP juga menyediakan beberapa kenderaan untuk mengangkut barangan elektrik dari rumah mangsa ke pusat membaiki di TDTD, katanya.
"Program kita bermula 8 pagi hingga 5 petang. Kita sasarkan untuk membaiki 80 peratus daripada barangan yang dihantar," katanya.
Sementara itu, pelajar Diploma Teknologi Kuasa, Muhammad Arif Razali, 22, berkata beliau sangat gembira kerana dapat menggunakan kemahirannya untuk berbakti kepada masyarakat.
Muhammad Arif berkata selain memberikan perkhidmatan percuma, program itu juga mampu meningkatkan kecekapannya dalam kerja-kerja pembaikian elektrik.
"Alhamdulilah kami dapat bantu mangsa banjir menjimatkan kos daripada terpaksa beli barang elektrik baharu," katanya.
Sementara itu rakannya Ismail Shamsudin, 22, berkata beliau memahami kesusahan mangsa banjir memandangkan keluarganya juga sering menjadi mangsa bencana berkenaan.
"Saya harap bantuan yang tidak seberapa daripada rakan-rakan ILP dapat meringankan beban mangsa banjir memandangkan kos membaiki peralatan sekarang ini agak mahal," katanya.
-- BERNAMA