Penganggur, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, S Mageswary.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menipu seorang pesara kakitangan hospital berusia 50 tahun, dengan memperdayakannya dalam urusan pelaburan emas 'Paddy Jewellery'.
Dia mendorong mangsa menyerahkan wang RM26,750 ke akaun CIMB bank syarikat Pawana Sweet milik tertuduh, yang mana dia tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Raja Muda Abdul Aziz Dang Wangi, pada jam 12.20 tengah hari, 2 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Hilmi Latif mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah mengurangkan ikat jamin kerana dia tidak bekerja, menanggung empat anak dan bapa mentuanya.
“Suami saya tidak bekerja dan kini dia dirawat akibat demam denggi selain menghidap asma serta darah tinggi,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Mageswary membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Disember depan sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Pada 23 Oktober lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan Siti Hajartul Haini di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang bersama empat individu lain berhubung kegiatan penipuan emas tersebut.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, semua yang ditahan mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan pelaburan emas 'Pa Jewellery' dan 'Paddy Jewellery'.
Sehingga kini, menurutnya, sejumlah 69 laporan polis telah diterima berhubung penipuan pelaburan tersebut, dengan nilai kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM48.5 juta.
Siti Hajartul Haini dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa bagi menghadapi satu pertuduhan menipu pelaburan emas 'Paddy Jewellery' sebanyak RM26,750, pada enam bulan lalu. -- Sinar Harian