KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) mencatat keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta sehingga akhir Disember 2023.


Ringkasan AI
  • HRD Corp mencatat keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta hingga akhir Disember 2023. Jumlah ini melibatkan kira-kira 98.7% daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang bernilai RM3.6 bilion.
  • HRD Corp merekodkan kerugian tidak nyata sebanyak RM49 juta atau 1.3% daripada keseluruhan portfolio pelaburan. Keuntungan nyata daripada pelaburan setakat 30 Jun 2023 adalah RM56 juta, manakala keuntungan nyata setakat 31 Disember 2023 adalah RM106 juta.
  • Pengurusan HRD Corp mematuhi prosedur dengan menyediakan kertas analisis untuk permohonan kelulusan pelaburan. Ketua Audit Negara mengesyorkan tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp berdasarkan audit yang menemui ketidakteraturan


Dalam nota pembentangan pihak pengurusan kepada lembaga pengarah HRD Corp yang dilihat oleh media, jumlah tersebut melibatkan kira-kira 98.7 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang bernilai RM3.6 bilion.

Laporan tersebut juga menyatakan HRD Corp hanya merekodkan kerugian tidak nyata sebanyak RM49 juta atau 1.3 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan.

"Keuntungan nyata daripada pelaburan setakat 30 Jun 2023 pula adalah RM56 juta, manakala keuntungan nyata daripada pelaburan setakat 31 Disember 2023 adalah RM106 juta," jelas nota tersebut.

Dalam nota yang sama, pengurusan HRD Corp menegaskan pihaknya sentiasa mematuhi prosedur yang telah ditetapkan, di mana segala bentuk permohonan kelulusan pelaburan mesti dilampirkan dengan kertas analisis.

Ia antaranya menyediakan kertas cadangan untuk jenis pelaburan lain dan menyemak kertas cadangan serta mewujudkan langkah balas dan kawalan pengurusan risiko bagi memastikan risiko pelaburan adalah sejajar dengan objektif pelaburan ketua jabatan.

Pada 4 Julai lalu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Jelas beliau, Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

"Terdapat tindakan dan keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat,” kata Wan Suraya dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.