KUALA LUMPUR: Wujudnya persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan akan tumbang pada Ogos ini telah menyebabkan para pelabur asing takut untuk melabur di Malaysia.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun kunjungan Menteri Pengangkutan Anthony Loke ke Hong Kong baru-baru ini dilihat positif, namun ada dalam kalangan pelabur memaklumkan masih melihat kestabilan Kerajaan Perpaduan selepas dakwaan beliau akan dijatuhkan.

"Ada orang kata Ogos ini mungkin Anwar akan dijatuhkan, jadi (pelabur) tunggu Ogos dulu.

"Ada baiknya, iaitu (pelabur) lebih yakin dengan saya daripada mereka (pihak yang menyebarkan dakwaan kerajaan jatuh).

"Dia (pelabur) kata kalau Anwar masih memimpin dan kerajaan masih stabil, dia lebih yakin. (Tetapi) kalau ganti orang lain, dia tarik balik (pelaburan).

"Ini masalah sikit kepada ekonomi bukan saya nak kempen untuk Kerajaan Perpaduan, tetapi itu kenyataan," katanya pada program Temu ANWAR di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Nilai, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan usaha meningkatkan ekonomi negara juga tidak seharusnya membebankan sebahagian rakyat, khususnya golongan susah.

Menteri Kewangan itu berkata, beliau tidak sanggup menarik pemberian subsidi secara drastik seperti dilakukan Indonesia, walaupun tindakan itu boleh memberikan keyakinan kepada para pelabur.

"Kalau ikut Indonesia, dia kata subsidi elektrik ini diturunkan drastik, tetapi saya tak sanggup, dan saya hanya turunkan bagi golongan kaya.

"Pelabur pula mereka kira wang. Nampak Indonesia lebih berani turunkan subsidi, jadi itu meyakinkan dan dia ingat itu 'political will'.

"Tetapi fahaman saya pula, falsafah ekonomi tidak begitu. Saya tidak fikir negara harus berkembang dengan bebankan sebahagian rakyat terutama yang susah," ujar Anwar.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata langkah yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini disifatkan lebih berhati-hati dan berhemah.

"Indonesia lebih berani menurunkan defisit, (tetapi) saya turunkan dari 5.6 peratus kepada 5.0 peratus sahaja dan mengambil langkah itu supaya ia tidak menekan (rakyat).

"Kalau (defisit) diturun secara drastik, macam mana nak buat asrama, nak buat fakulti perubatan atau baiki sekolah?

"Kalau (setuju defisit diturunkan) drastik, kita tangguh ini semua dan turunkan (defisit) bagi pelabur masuk. Tetapi saya ambil pendekatan yang lebih manusiawi dan menekankan ihsan," kata Ahli Parlimen Tambun itu.