Mengikut pertuduhan See Pep Hoor, 66, didakwa memperdayakan perunding kewangan Kok Poh Wan, 54, dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud sehingga mangsa menyerahkan wang berjumlah RM215,075 kepada tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah tokong di Jalan Ipoh, Sentul di sini antara 16 Mei dan 13 Jun 2024 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin namun peguam CY Yong yang mewakili See memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan ibu yang berusia 90 tahun.
Hakim Azrul Darus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Nov ini untuk sebutan kes.
Sementara itu dalam prosiding berasingan, lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdayakan pasangan suami isteri Tan Eng Khoon, 81, dan Phua Siew Lan, 72, bagi tujuan serupa sehingga mereka menyerahkan wang berjumlah RM161,500 kepada tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Alliance Bank Cawangan Segambut, Sentul pada 27 dan 31 Mei 2024, dan dituduh mengikut akta dan hukuman serupa.
Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama (12 Nov) untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan turut dikendalikan Harvind manakala tertuduh diwakili peguam yang sama.
-- BERNAMA