SABAK BERNAM: Lebih 100 pekerja pembersihan dari 19 sekolah di sekitar daerah ini memohon Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam membantu menyelesaikan masalah gaji mereka yang tertunggak sejak November tahun lepas.

Susulan itu, satu surat tuntutan telah diserahkan kepada PPD Sabak Bernam supaya pihak tersebut dapat mengambil langkah yang sewajarnya kepada dua syarikat pembersihan terbabit iaitu As Rezeki Resources dan Panggilan Efektik Enterprises yang gagal membayar gaji mereka sejak tiga bulan lepas.

Jurucakap PPD Sabak Bernam mengesahkan menerima surat tersebut dan akan menelitinya.

Turut hadir ketika penyerahan surat tersebut, Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) S. Koyilvani yang berkata pihaknya menerima aduan daripada pekerja terbabit mendakwa mereka terpaksa meminjam dan membuat kerja-kerja lain bagi menampung kos kehidupan seharian disebabkan gaji tidak dibayar.

"Mengikut Akta Kerja 1955, gaji seseorang pekerja seharusnya diterima setiap bulan sebelum 7 hari bulan tetapi sudah tiga bulan mereka bekerja tanpa dibayar gaji.

"Kami menyeru supaya kedua-dua syarikat pembersihan disenaraihitamkan selepas penjelasan gaji pekerja berkenaan dan membuat lantikan syarikat pembersihan yang baharu untuk menjaga kebajikan pekerja," katanya ketika ditemui media di pekarangan PPD tersebut.

Foto: Facebook Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan - JPKK

Sementara itu, seorang pekerja pembersihan yang mahu dikenali sebagai Pak Din, 56, berkata ekoran sudah tiga bulan tidak bergaji, beliau terpaksa membuat kerja sambilan dengan mengambil upah menebas dan menjadi tukang rumah.

"Saya terpaksa mencari inisiatif lain bagi menampung perbelanjaan seharian, cukai jalan motor juga sudah dua bulan tertunggak. Bil-bil lain juga tertunggak. Tiada siapa boleh tahan jika kena begini, mahu makan pun perlu dicatu," katanya.

Seorang lagi pekerja yang mahu dikenali sebagai Kak Fizah, 42, merayu pihak PPD menyelesaikan permasalahan tersebut dan mengambil tidakan segera memandangkan beliau merupakan seorang ibu tunggal yang menanggung empat orang anak.

"Nasib baik ada cikgu-cikgu dan kakitangan sekolah yang membantu. Tapi, sampai bila nak mengharapkan belas ihsan orang lain?" katanya dengan nada sebak.

-- BERNAMA