Seorang pekerja kilang maut manakala rakannya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kemalangan di Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam.


Dalam kejadian pukul 6.50 pagi Khamis, mangsa Abdullah Ahmad, 32, bersama rakannya Muhammad Fakrulnizam Fazli, 23, dalam perjalanan ke Bukit Mertajam dan terbabas sebaik melalui satu selekoh di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang duduk di bahagian penumpang tersepit dan meninggal dunia ditempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala Muhammad Fakrulnizam yang mengalami kecederaan di kepala dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Mayat Abdullah juga dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

Shafee berkata, kes disiasat di bawah Sek. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu,Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Pegawai Bomba Kanan II, Azmi Zakaria, memaklumkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan jam 6.57 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira terbabit kemalangan dan terdapat dua mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam yang lengkap dengan sut PPE kemudian melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit ditempat duduk penumpang dengan peralatan Rescue Tools dan operasi tamat pada pukul 7.55 pagi.