KUANTAN: Seorang pekerja kilang dan anak tirinya maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di KM 6 Jalan Kampung Pulau Mansok-Jerantut, berhampiran Sekolah Kebangsaan Pulau Mansok, Jerantut hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Zukri Muhammad berkata dalam kemalangan sekitar 6.30 pagi itu, warga Bangladesh Mohammad Adam, 39, dan Muhamad Faiq Aqwa Abdullah, 9, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Mohammad Adam yang menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan menghantar anak tirinya ke Sekolah Kebangsaan Perian, manakala pemandu kereta Perodua Axia sedang menghala ke arah Batu Embun.

"Di lokasi kejadian, mangsa cuba mengelak lubang di kiri jalan sehingga masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran itu, kereta dipandu seorang wanita berusia 41 tahun bersama anak lelakinya berumur lima tahun telah terbabas ke sebelah kanan dan terjatuh ke dalam gaung, namun kedua-dua mereka hanya mengalami cedera ringan.

Zukri berkata mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan pihaknya akan menghubungi kedutaan Bangladesh untuk pengesahan pasport serta kewarganegaraan Mohammad Adam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA