Menterinya Fadhlina Sidek berkata surat pekeliling itu, akan dikeluarkan untuk memberikan penjelasan dengan terperinci berhubung pemansuhan tersebut.
"(Pemansuhan) boleh terus dilaksanakan. Yang ada dalam surat itu nanti adalah perinciannya dan sebelum bermula sekolah kita akan keluarkan," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata KPM akan sentiasa menilai situasi dan memperkenalkan langkah-langkah yang dapat mengurangkan beban tugas guru dari semasa ke semasa, dalam memastikan kesejahteraan guru terjamin sekali gus mengoptimumkan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Sebelum ini, KPM mengumumkan pemansuhan tersebut yang merupakan antara tujuh langkah segera diambil dalam teras kelima KPM yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan dihadapi para guru.
Ia membabitkan antaranya pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi Sistem Pengurusan Buku Teks (SPBT) terbaik dan seumpamanya.
Menjawab isu kekurangan guru yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen sewaktu perbahasan usul berkenaan, Fadhlina berkata KPM telah melaksanakan pengambilan seramai 22,327 guru pada tahun 2021 dan 2022, yang ditempatkan di sekolah KPM di seluruh negara.
Beliau berkata pengambilan guru akan berterusan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran.
Berhubung isu sekolah daif, Fadhlina berkata 920 projek menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di sekolah di seluruh negara, telah diluluskan bagi tempoh 2016 hingga 2022.
Katanya sehingga 16 Feb 2023, sebanyak 664 projek telah siap sepenuhnya, 86 projek berada di peringkat pembinaan dan 170 projek di peringkat prabina.
"Permohonan pelaksanaan projek ini akan diteruskan secara berfasa melalui peruntukan yang diluluskan oleh agensi pusat bagi setiap rolling plan dalam Rancangan Malaysia lima tahun. Bagaimanapun, kelulusan dan pelaksanaan projek adalah tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan," katanya.
-- BERNAMA