Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Gee Len Fatt, 63, beralamat dari Jalan Haji Ahmad dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu lori berusia 62 tahun itu bersama pekerja warga Myanmar dan Bangladesh tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke Gebeng.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori kontraktor Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sedang bergerak lurus di lorong kanan membawa muatan air untuk kerja-kerja penyiraman pokok bunga di laluan itu," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.
"Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -- Sinar Harian