KUALA LUMPUR: Penjawat awam diingatkan untuk mematuhi arahan kawalan perbelanjaan yang baharu, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat.

Beliau berkata soal penjimatan dan pembaziran tidak seharusnya diberikan tumpuan kepada konteks yang besar semata-mata, tetapi hal-hal kecil yang menjadi rutin harian seperti penggunaan tenaga elektrik atau alatan pejabat juga perlu diberi perhatian.

"CUEPACS menyeru kepada semua warga perkhidmatan awam terutama ketua-ketua jabatan agar sentiasa mematuhi arahan kawalan perbelanjaan yang telah dikeluarkan kerajaan.

Peringatan secara berkala melalui perhimpunan bulanan dapat membantu supaya ianya menjadi amalan biasa yang diamalkan oleh penjawat awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata demikian merujuk kepada arahan baharu kawalan perbelanjaan awam bagi mengelak pembaziran sumber kewangan awam yang dikeluarkan kerajaan semalam kepada semua kementerian, jabatan, dan agensi.

Antara perkara yang termaktub dalam arahan yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali tersebut ialah penganjuran acara, majlis, keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, persidangan, seminar serta bengkel dihadkan bagi program benar-benar perlu saja, dan disaran diadakan di premis atau institusi latihan awam (ILA).

Arahan itu juga antara lain menyebut bahawa sumber utiliti termasuk elektrik dan air serta peralatan pejabat perlu digunakan secara optimum, di samping pembaziran penyediaan makan dan minum ketika mesyuarat atau program perlu dielakkan.

Adnan berkata penjawat awam seharusnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melaksanakan arahan itu kerana ia bukanlah suatu perkara yang baharu memandangkan garis panduan mengenai perkara sama telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada tahun lepas.

"Garis panduan tersebut (yang dikeluarkan pada tahun lepas) dengan jelas meminta semua kementerian dan jabatan kerajaan melaksanakan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.

Justeru itu, arahan yang dikeluarkan hari ini hanyalah bersifat peringatan dari semasa ke semasa agar ianya sentiasa dipatuhi dan dipraktis dengan baik oleh seluruh warga perkhidmatan awam," katanya.

-- BERNAMA