KUALA LUMPUR: Peguam Negara mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, terhadap permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung tindakan pembekuan akaun bank parti itu.

Semakan itu adalah untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun berkenaan.

Ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, perintah pembekuan itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

Ini kerana katanya, kuasa untuk mengeluarkan perintah berkenaan adalah salah satu mekanisme siasatan.

Menurutnya, agensi penguatkuasaan undang-undang diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah untuk membekukan harta seseorang mahupun pihak terlibat termasuk parti politik, sekiranya memenuhi syarat.

“Permohonan kebenaran ini perlu ditolak kerana akaun bank itu menjadi asas dalam pertuduhan jenayah.

"Kami berhujah bahawa dengan memberi kebenaran semakan kehakiman terhadap perintah pembekuan berkenaan akan membawa kepada campur tangan mahkamah sivil dalam melaksanakan kuasa penyeliaannya terhadap bidang kuasa mahkamah jenayah,” katanya.

[BERITA LANJUT MENYUSUL]