KUALA SELANGOR: Peguam kepada seorang lelaki disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel, Mac lalu menarik diri daripada mewakilinya bagi kes berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Mohamad Isa Mohamad Basir di Mahkamah Sesyen di sini, yang baru dilantik mewakili tertuduh Abdul Azim Mohd Yasin, 43.

Mohamad Isa berkata, surat rasmi itu diterima beliau pada petang Rabu daripada peguam terdahulu, Ethan Tan yang menyatakan mahu menarik diri daripada kes berkenaan.

"Saya akan 'take over' (mengambil alih) kes ini bagi mewakili pihak anak guam (Abdul Azim)," katanya dalam sebutan semula kes itu pada Khamis.

Sehubungan itu, Mohamad Isa memohon Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar memberikan dokumen sebelum ini yang telah diserahkan kepada peguam terdahulu.

Nor Suhaili dalam prosiding sebutan kes itu memberitahu mahkamah bahawa laporan kimia dan forensik belum disiapkan

"Saya dimaklumkan bahawa laporan kimia akan siap pada September, manakala laporan forensik tidak dinyatakan tarikhnya.

"Oleh itu, saya memohon satu tarikh bagi serahan dokumen-dokumen berkenaan," katanya.

Mohamad Isa yang turut mewakili isteri tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, tidak membuat sebarang bantahan.

Sementara itu, Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza kemudian menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh sebutan serahan dokumen.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di mahkamah itu secara berasingan dengan menaiki kenderaan polis pada jam 9.05 dan 9.50 pagi.

Mengikut pertuduhan, Sharifah Faraha didakwa telah didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang iaitu sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 Cal.9 Luger, No siri: A216210.

Abdul Azim pula didakwa ada bersama isterinya itu yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa lelaki berkenaan mengetahui tentang pemilikan senjata api berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, kira-kira jam 8 malam, 29 Mac lalu.

Pasangan itu masing-masing didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 dan 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada 30 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam bagi membantu siasatan kes membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada lelaki warga Israel.

Polis turut menemukan satu pistol di beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.

Polis sebelum ini turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Lelaki warga Israel itu didakwa menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara.

Bagaimanapun, ia terbongkar selepas ditahan di sebuah hotel dekat Jalan Ampang dan hasil pemeriksaan ke atas suspek berumur 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu turut menemukan enam senjata api bersama 200 peluru. - Sinar Harian