TAWAU: Seorang pegawai perkhidmatan pendidikan Gred 44 dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM5,000 daripada seorang kontraktor pada September 2020.

Abdul Samad Amara, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Abdul Samad yang ketika itu berkhidmat sebagai Ketua Unit Infrastruktur dan Pembangunan, Pejabat Pendidikan Daerah Tawau didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada Mohd Soleh Abu Bakar iaitu pemilik Syarikat MS Construction and Engineering Consortium.

Wang tunai itu adalah sebagai dorongan untuk memilih syarikat berkenaan bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan di Sekolah Kebangsaan Balung, Tawau dengan nilai kontrak RM223,247.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Taman Univilla di sini pada 11 Sept 2020 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 seorang penjamin tempatan selain tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap dua bulan, menyerahkan pasport ke mahkamah serta tidak mengganggu saksi.

Hakim menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA