Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan akronim PRINSIP sebagai yang membawa panduan dalam pembentukan disiplin diri dan erika warga polis secara keseluruhannya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia dilihat elemen penting yang membantu ke arah pengukuhan integriti warga polis dalam amalan etika yang cemerlang.

"'P' bermaksud prihatin dan komited dalam melaksanakan fungsi PDRM bersama masyarakat, 'R' bermaksud responsif dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan 'IN' bermaksud integriti sebagai teras perkhidmatan.

"Sementara 'S' bermaksud semangat satu pasukan menjadi budaya ke arah mencapai misi dan visi, 'I' memberi makna inovasi dan kreatif menjadi amalan dalam meningkat kualiti perkhidmatan serta 'P' yang memberi makna profesional ke arah merealisasikan kepolisan moden," katanya.

Khalid berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama PDRM bersama SPRM, Arkib Negara Malaysia dan Institut Integriti Malaysia serta Pelancaran Buku Kod Etika PDRM, Pelan Integriti PDRM 2016-2020 dan Manual Pematuhan Standard PDRM di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Dr Anis Yusal Yusoff, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustaffar Ali dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Azemi Abdul Aziz.

Dalam pada itu kata Khalid, pihaknya sentiasa akur kepentingan integriti kepada sesebuah organisasi termasuk PDRM sendiri.

"Isu integriti bukan semata-mata merujuk kepada isu- isu salah laku atau rasuah semata-mata tetapi turut merangkumi segala amalan positif dalam sesebuah organisasi," jelasnya.

Katanya lagi, pelancaran Pelan Integriti PDRM 2016- 2020 juga merupakan kesinambungan kepada Pelan Integriti PDRM sebelum ini.

"Pelan ini mengandungi enam elemen nilai teras iaitu sifat integriti itu sendiri, bermorah, beretika, keagamaan, kerohanian dan profesionalisme.

Keenam-enam elemen ini seiring bagi menyokong lima strategi yang memberi sinergi bagi meningkatkan integriti dan pematuhan standard warga kerja PDRM," ujarnya.

Tegasnya, lima strategi itu ialah memantapkan pengurusan pentadbiran dan pematuhan standard, meningkatkan keberkesanan sistem perkhidmatan penyampaian, memantapkan pengurusan sumber manusia, memperkasakan imej PDRM ke arah kepolisan moden dan mensejahterakan institusi kekeluargan.

"Ia bagi memastikan semua warga PDRM memahami etika dan pematuhan standard, meningkatkatkan tahap keyakinan masyarakat serta meletakkan pasukan dalam perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia," katanya.