Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan akan dilakukan pasukannya ke atas Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen dan peguam Eric Paulsen mengikut Akta Hasutan.

Khalid menerusi Twitternya pada Sabtu turut mengepilkan dua foto yang mendakwa kenyataan yang dikeluarkan dua individu terbabit wajar disiasat di bawah Akta Hasutan.

Ko didakwa berikutan pengajaran mata pelajaran Tamadun Islam di universiti manakala Paulsen berhubung dakwaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mempromosikan ekstremisme.


Bagaimanapun, Ko yang merupakan MP Kampar ketika dihubungi The Star Online menafikan telah membuat kenyataan “Hapus subject Tamadun Islam. Ini hak kami! Kami bayar cukai”.

Kata Ko, fotonya itu jelas telah disunting dengan kenyataan tersebut.

“Saya kecewa Khalid mengumumkan siasatan berdasarkan satu laman cybertrooper” katanya kepada The Star Online.

Menurut laporan MalaysiaKini, gambar tersebut merupakan milik penerbitan mereka yang dirakam dalam satu sidang media.

Sidang media tersebut dilaporkan diadakan Ko bagi mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan kerana mewajibkan matapelajaran tersebut termasuk pelajar tempatan di universiti swasta.

Manakala, tinjauan Astro AWANI mendapati Paulsen telah memuatnaik twit yang didakwa pada 9 Jan lalu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah, Nurul Islam Mohamed Yusoff di laman Twitternya turut mempersoalkan kenyataan Paulsen.