SHAH ALAM: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diminta melaksanakan program mengumpul lebihan makanan tidak terjual di bazar Ramadan di kawasan masing-masing sebagaimana yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi MBSA MYSave Food@Bazar Ramadan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ini kerana inisiatif oleh MBSA itu terbukti berjaya dalam mengelakkan pembaziran serta mengurangkan penghantaran sisa makanan ke tapak pelupusan sejak program berkenaan dilaksanakan empat tahun lepas.

"Selain mengelak dan mengurangkan pembaziran makanan, program ini juga berjaya dalam misi mengagihkan lebihan makanan tidak terjual kepada mereka yang memerlukan termasuk dari perumahan kos rendah serta pelajar institusi pendidikan tinggi berdekatan tapak bazar Ramadan.

"Dalam hal ini, saya telah meminta Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin untuk berhubung dengan semua PBT supaya mereka juga boleh mengguna pakai formula MBSA ini di kawasan masing-masing di sepanjang bulan Ramadan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program MBSA MYSave Food@Bazar Ramadan di bazar Ramadan Seksyen 19 di sini hari ini.

Selain Seksyen 19, program MBSA MYSave Food@Bazar Ramadan yang berlangsung dari 14 Mac hingga 3 April depan turut melibatkan lokasi bazar Ramadan di Seksyen 13, 17 dan 19.

Amirudin berkata sejak dilaksanakan empat tahun lepas, jumlah makanan tidak terjual yang berjaya dikumpul meningkat setiap tahun iaitu 859 kilogram pada 2021 diikuti 2.2 tan metrik dan 2.9 tan metrik dua tahun berikutnya, manakala setakat semalam, program kali ini telah mengumpul sebanyak 1.6 tan metrik makanan.

Berhubung aspek keselamatan makanan, beliau berkata pihak MBSA menetapkan semua makanan yang dikumpul perlu direkod, ditimbang dan dibungkus semula dalam bekas yang bersesuaian sebelum diagihkan kepada pihak yang memerlukan dalam tempoh tidak melebihi dua jam dari proses pengumpulan.

Menurut Amirudin setakat ini semua pihak yang disantuni gembira dengan usaha dilakukan dan menyambut baik program ini, mengambil kira kos dan harga makanan yang agak tinggi ketika ini.

-- BERNAMA