SEREMBAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu berintegriti dan telus dalam melaksanakan setiap tugas kepada masyarakat bagi mengelak persepsi negatif sekali gus menghalang penularan rasuah.

Lembaga Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Datuk Mohammad Salim Sundar Abdullah berkata setiap PBT perlu mempunyai pelan antirasuah supaya sesebuah organisasi itu dapat menyatakan secara telus jika mereka berhadapan risiko rasuah yang tinggi.

"Pengurusan tertinggi perlu bertindak tegas, terus laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun penglibatan dalam rasuah akan menyebabkan tindakan ketat diambil terhadap pekerja, dibuang kerja dan turun pangkat," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Bebas Rasuah, Integriti dan Tadbir Urus Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan 2022 serta Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, setiap gerak-geri pelaksanaan anggota dan pegawai PBT juga sentiasa dipantau, dinilai dan diadili oleh masyarakat yang boleh menimbulkan persepsi baik atau buruk terhadap sesebuah PBT itu.

"Misalnya papan iklan yang banyak di sekitar Nilai, mungkin orang awam beranggapan pihak MBS tidak melakukan kerja walhal sebaliknya (telah turun padang).

"Jadi mungkin boleh dicopkan oleh pihak MBS bahawa papan iklan itu telah mendapat kelulusan begitu juga kewujudan gerai-gerai di tepi jalan," katanya.

Sementara itu Datuk Bandar Datuk Masri Razali ketika berucap pada majlis berkenaan berkata MBS merupakan Pihak PBT pertama di negeri ini yang membangunkan OACP.

Katanya ia sejajar dengan matlamat dan hasrat kerajaan Negeri Sembilan dalam Pelan Antirasuah Negeri Sembilan (ANTS) 2020-2024 iaitu mewujudkan 'Negeri Sembilan Bebas Rasuah' dan menuju ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

"Malah, ia (OACP) mengandungi pelan tindakan menyeluruh bagi membanteras rasuah, meningkatkan budaya kerja berintegriti dan tadbir urus yang baik di Majlis Bandaraya Seremban.

" Diharapkan ia dapat memberi manfaat dan faedah kepada warga Seremban di samping menjadi satu pemangkin serta mekanisme yang jitu dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan MBS terus telus dan berkredibiliti," katanya.

-- BERNAMA