Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini digesa mencari sumber pendapatan baharu dan tidak bergantung sepenuhnya pada hasil kutipan cukai sebagai sumber pendapatan utama bagi mengelak defisit dalam belanjawan mereka.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata kebergantungan pada hasil kutipan cukai pada masa sekarang dilihat tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mereka bagi menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di bawah pentadbiran mereka.

Beliau berkata defisit yang berlaku dalam beberapa buah PBT di negara ini antaranya disebabkan permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat dalam memenuhi keperluan mereka untuk kemudahan bersama.

"Kita mempunyai sebanyak 148 PBT di seluruh negara dan mereka tidak boleh melihat sumber pendapatan adalah melalui kutipan cukai yang dikutip sebaliknya PBT perlu kreatif melihat pada produk atau usaha lain yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka.

"Apabila berlaku defisit dalam hasil pendapatan PBT, mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk melakukan sebarang pembangunan lain malahan terpaksa berjimat dalam membuat pengeluaran peruntukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Datuk Wira Halimah Mohamed Sadique di Taman Rebana Jernih, Kuala Sungai Baharu di sini, hari ini.

Dewan yang berkonsepkan terbuka itu melibatkan kos pembinaan berjumlah RM300,000 dengan kemudahan bilik persalinan, dua gelanggang badminton, tandas dan ia mampu memuatkan antara 300 hingga 400 orang dalam satu masa.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Datuk Ismail Othman, ADUN Taboh Naning Datuk Latipah Omar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Ismail Hasim.

Mengulas lanjut, Halimah berkata kenaikan kadar cukai bukan di bawah kuasa KPKT, sebaliknya ia tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri dan langkah menaikkan kadar cukai bukan penyelesaian masalah.

Beliau berkata antara sumber pendapatan baharu yang boleh diusahakan PBT termasuk melalui sewaan papan iklan di kawasan pentadbiran mereka kepada mana-mana syarikat yang ingin mengiklankan produk mereka atau memajak tanah di kawasan yang strategik untuk dibangunkan kepada syarikat swasta untuk tujuan sama.

"Walaupun nilai sewaan papan iklan berkenaan tidak terlalu tinggi sehingga ratusan ribu namun ia mampu membantu menambah hasil pendapatan sesebuah PBT selain melihat kepada produk lain yang boleh dibangunkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata setiap tahun KPKT menyediakan peruntukan kepada semua PBT di negara ini melalui sumbangan membantu kadar, geran tahunan dan pembayaran bil elektrik di kawasan mereka selain peruntukan di bawah projek kecil bagi membantu mengurangkan beban mereka dalam merancang dan melaksanakan pembangunan serta perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, lebih 25,000 peserta dari 194 buah negara di seluruh dunia akan menghadiri Forum Bandar Sedunia ke-9 yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 7 hingga 13 Februari depan.

"Forum berkenaan dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan sebanyak 50 kertas kerja melibatkan perancangan membangunkan kawasan perbandaran yang ada dari pelbagai negara akan dibentangkan sepanjang forum berkenaan berlangsung," katanya.

-- BERNAMA