Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa memainkan peranan dalam menangani krisis yang mendepani etnik Rohingya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan PBB yang ‘mendiam diri’ menunjukkan badan itu gagal memenuhi tujuan penubuhannya.

“Sebagai permulaan, PBB perlu memainkan peranannya, mengambil kira tujuan penubuhannya adalah untuk mengekang masalah yang dilakukan oleh manusia. Jangan hanya diam seribu bahasa.

“Tanpa tindakan daripada Majlis Keselamatan (PBB), negara lain perlu memainkan peranan mereka menangani krisis ini sekali gus membawa pelaku ke pengadilan,” katanya pada sesi Program Sampingan Pemimpin Tertinggi: ‘Krisis Rohingya – Menuju Ke Hadapan’ di Bangunan PBB, di sini, pada Selasa.

Beliau pada masa sama turut memuji tindakan Organisasi Kerjasama Islam (OIC) yang mengetengahkan isu Rohingya ke peringkat antarabangsa serta keputusan untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Saya amat berharap negara lain akan menyokong OIC untuk memastikan pelaku tidak terlepas daripada jenayah kejam yang dilakukan mereka,” katanya.


Gesaan itu dibuat Dr Mahathir bersama pemimpin negara lain yang turut mengutuk tindakan Myanmar selain mengemukakan beberapa cadangan berkenaan penambahbaikan proses penghantaran pulang etnik itu di bawah pentadbiran Aung San Suu Kyi.

Dr Mahathir turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menyalurkan bantuan semampunya kepada pelarian Rohingya termasuk membantu Bangladesh yang kini menanggung lebih 1.1 juta pelarian Rohingnya terutama di Cox’s Bazar.