KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menerusi pasukan elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP)  berjaya menggagalkan aktiviti perlombongan bauksit secara haram di sekitar kawasan Sungai Ular, di sini pada Khamis.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu hasil penugasan rondaan harian bagi aktiviti pemantauan pasir silika di sekitar Sungai Baging dan Sungai Ular sekitar jam 6 petang.

"Ketika rondaan sekitar jam 6.20 petang, anggota pasukan elit UPNP telah menerbangkan dron melihat aktiviti melombong bahan mineral (bauksit) di sekitar Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Sungai Ular.

"Anggota kemudiannya telah pergi ke lokasi kejadian dan meminta pemandu lori mengemukakan sebarang dokumen berkaitan namun gagal," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, anggota elit UPNP bertindak  menahan dan menyita empat buah lori dumper dan dua jengkaut di bawah seksyen 137 (1) Enakmen Mineral Negeri 2001 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001 iaitu penalti kerana melombong tanpa lesen atau pajakan yang sah.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada UPNP kerana telah berjaya menggagalkan aktiviti perlombongan haram ini.

"Saya juga menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram di seluruh negeri ini dan usaha-usaha membanteras aktiviti sebegini akan sentiasa diteruskan setiap masa,"jelasnya.