Namun reaksi berbeza dipamerkan daripada beberapa pengguna termasuk Zawidatul Asma Ahmad.
Berusia 44 tahun dan merupakan seorang Eksekutif Pelancongan, dia yang sudah selalu melancong ke luar negara menganggap Jabatan Imigresen sepatutnya melaksanakan penurunan harga pasport tersebut dengan lebih awal.
Dia yang bersetuju dengan penurunan yang dilakukan berkata tidak mahu menunggu terlalu lama untuk memperbaharui pasport.
“Menunggu terlalu lama di pejabat imigresen boleh membuatkan orang berasa sakit jiwa,” katanya.
Zawidatul Asma tidak mahu menuggu terlalu lama untuk memperbaharui pasport di pejabat imigresen. --Astro AWANI/SATHESH RAJ
“Saya terpaksa menunggu dari 9.30 pagi sehingga ke 9.30 malam untuk memperbaharui pasport dua tahun anak saya. Membuang masa satu hari waktu kerja saya. Tidak berbaloi menunggu.”
Harga pembaharuan pasport baru bagi pemohon biasa adalah sebanyak RM200 dan akan tamat tempoh selepas lima tahun.
Sebelum ini harga adalah sebanyak RM300 untuk lima tahun dan RM100 untuk dua tahun sebelum pengenalan pembaharuan pasport baru dilaksanakan.
Pasport yang tamat tempoh selepas dua tahun telah dimansuhkan selepas pelaksanaan harga baru untuk memperbaharui pasport berkuatkuasa bermula 15 Januari.
Bagi seorang eksekutif pentadbiran yang hanya mahu dikenali sebagai Lareena berkata pembaharuan harga untuk memperbaharui pasport akan menjadi “lebih mudah.”
“Dengan penurunan harga ini, ramai yang boleh melancong dengan lebih kerap,” katanya.
Untuk seorang pereka seperti Farizul Ramli, dia berkata semuanya bergantung kepada kestabilan kewangan sekiranya mahu meningkatkan lagi kadar pelancong Malaysia ke luar negara.
Farizul Ramli menganggap harga baru pembaharuan pasport tidak mempunyai banyak perbezaan dengan yang terdahulu. -Astro AWANI/OMAR ASIM
Dia yang juga melancong di kebanyakan negara Asia Tenggara berkata pengurangan RM100 ringgit ini tidak akan memberikan kesan yang begitu besar kepada pengguna.
Bagi pesara berusia 72 tahun, Abdul Hak pula mengharapkan lagi pengurangan untuk harga pasport Malaysia dalam masa sebulan akan datang.
“Saya tidak pasti tentang berapa ramai yang akan memenuhi pejabat imigresen tapi saya mengharapkan penurunan lagi dalam satu bulan akan datang, manalah tahu kalau mereka mahu kurangkan lagi, kalau terjadi lagi, syukur Alhamdulillahlah.”
Sementara itu, pegawai perhubungan awam Jabatan Imigresen Malaysia, Abdul Haidir bin Mohd Sukor berkata penurunan harga pasport tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.
Beliau berkata ramai yang menerima dengan hati terbuka apabila penurunan harga pasport dilaksanakan.
“Hari ini orang yang ramai berada di pejabat imigresen ini adalah perkara yang biasa, walaupun sebentar tadi saya lihat angka giliran sudah mencapai 300 ke 400 angka,” dia berkata.
Ramai yang gembira dengan penurunan harga yang telah dibuat jadi kami menganggap pelaksanaan ini merupakan satu perkara yang berbaloi.”
Berdasarkan laporan New Straits Times Online, Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi berkata penurunan harga memperbaharui pasport dan bayaran permohonan akan memastikan proses pembaharuan pasport dapat dijalankan dalam jangka masa yang pendek malah sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesukaran pengguna.
Sakib menambah ini akan mengurangkan kadar kesesakan di Jabatan Imigresen serta meningkatkan lagi bilangan rakyat Malaysia yang mampu untuk melancong.