KUALA LUMPUR: Saiz pasaran perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia diunjurkan mencecah AS$48.41 bilion (AS$1=RM4.28) pada 2028 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 13.5 peratus, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Timbalan Pengarah Bahagian Eksport dan Akses Pasaran (Sektor Gaya Hidup dan Sains Hayat) Abdul Halim Mohamed Shariff berkata saiz pasaran global bagi industri peranti perubatan pula diunjurkan hampir AS$745 bilion pada 2030.

"Pasaran perkhidmatan penjagaan kesihatan dan peranti perubatan akan terus berkembang pesat -- dengan perubahan gaya hidup, populasi semakin menua, faktor-faktor ini akan menyumbang kepada pertumbuhan industri penjagaan kesihatan di seluruh dunia," katanya semasa pembentangan pada acara rangkaian untuk Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025 akan datang di sini, pada Isnin.

Beliau berkata sektor pelancongan kesihatan dijangka menjana perolehan AS$526 juta pada 2024 dan diunjurkan memberikan limpahan ekonomi bernilai AS$2.1 bilion kepada industri lain.

"Industri peranti perubatan dijangka berkembang pada CAGR 9.5 peratus dari 2023 hingga 2028, dan mencatatkan nilai AS$3.6 bilion pada 2028," katanya.

Sementara itu, semasa sidang media selepas sesi pembentangan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE Abu Bakar Yusof berkata sektor penjagaan kesihatan Malaysia bersedia untuk merekodkan pertumbuhan ketara, didorong oleh peningkatan jangka hayat, kemajuan teknologi dan peningkatan keperluan untuk rawatan penyakit kronik.

"Tinjauan optimis ini sejajar dengan unjuran industri global ini, yang dijangka melonjak 63 peratus daripada RM2.53 trilion pada 2024 kepada RM4.3 trilion menjelang 2032.

"Pertumbuhan ketara ini memberikan peluang menarik kepada syarikat Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam landskap penjagaan kesihatan global," katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz bertukar Memorandum Persefahaman (MOU) antara MATRADE dan penganjur pameran Informa Markets Malaysia Sdn Bhd, yang diwakili oleh Pengurus Besar Negara, Gerard Leeuwenburgh, untuk meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam landskap penjagaan kesihatan global.

Selain itu, Informa Market Malaysia juga memeterai MoU dengan Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) untuk bekerjasama bagi IHW 2025.

"Kerjasama ini dijangka menggalakkan pertumbuhan eksport sektor peranti perubatan dan sektor farmaseutikal negara serta menarik pelaburan asing yang bernilai," katanya.

IHW 2025 dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 18 Julai 2025, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini dan merupakan kerjasama antara MATRADE dan Informa Market Malaysia sebagai penganjur.

-- BERNAMA