Sebut sahaja Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang, pasti mereka yang pernah berkunjung ke Terengganu, akan terbayang suasana penuh sesak pengunjung dan kepadatan pelbagai barangan jualan produk popular di negeri itu, termasuk kain batik, sutera dan songket.
Namun, wajah Pasar Payang seperti itu yang selama ini menjadi ikon di negeri itu pasti akan berubah, apabila kerajaan negeri memutuskan merobohkan bangunan yang dibina sejak 1968 itu, untuk digantikan dengan pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung, bermula April ini.
Kesemua peniaga telah pun diarahkan berpindah secara berperingkat ke bangunan lain, yang terletak hampir 80 meter dari bangunan asal, sementara Pasar Payang baharu, yang menelan belanja RM50 juta dijangka siap dua tahun lagi.
Tinjauan Bernama ke pasar yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Terengganu dan pinggir Sungai Terengganu itu mendapati, rata-rata peniaga masih dihimpit perasaan berbelah bahagi untuk berpindah, kerana pasar itu yang telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka tentunya meninggalkan pelbagai memori terutamanya, bagi peniaga asal di situ.
Ibrahim Jusoh, 65, yang berniaga sejak 1960an berkata Pasar Payang berada pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1980an, sehingga berjaya menarik pelancong dari dalam serta luar negeri.
Katanya, pasar itu menjadi tapak perjuangan lebih 500 peniaga, majoritinya melayu, yang tentunya menyimpan terlalu banyak kenangan suka duka, dalam tempoh 51 tahun kewujudannya dengan beberapa kali mengalami perubahan struktur.
"Sebelum adanya kompleks pasar seperti hari ini, Pasar Payang hanyalah terdiri dari deretan kedai kecil yang menjual barang keperluan dan di satu sudut lain diisi oleh beberapa peniaga sayur serta buah-buahan.
"Pada tahun 1964 barulah ia dibangunkan sebagai sebuah pasar, bagi menempatkan peniaga-peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang dirobohkan. Nama Kedai Payang pula dikekalkan bagi memelihara sejarah tempat asal itu sendiri," katanya ketika ditemui Bernama.
Mengimbas kenangan, Ibrahim berkata beliau mula berniaga di situ, seawal umurnya sembilan tahun dengan mengikuti ibunya yang menjual makanan ayam seperti jagung, sekam dan padi.
Menurutnya, keadaan pada waktu itu amat berbeza dengan hari ini, di mana hanya sekitar 70 hingga ke 80 peniaga, sementara barang dagangan hanyalah kuih-muih, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Bagaimanapun, lama kelamaan semakin ramai peniaga bertapak di situ dan jualan juga dipelbagaikan kepada barangan basah, batik, songket, tembaga dan sebagainya.
"Sepanjang pakcik berniaga di sini, adalah tiga atau empat kali berpindah disebabkan kerja-kerja membaiki dan membesarkan bangunan Pasar Payang.
"Malah dulu-dulu berdekatan pintu masuk Pasar Payang, ada sebuah menara jam besar yang berdiri megah di situ dan menjadi tumpuan orang ramai," katanya yang masih menyimpan koleksi gambar lama Pasar Payang sebagai kenangan.
Lebih nostalgik, Ibrahim berkata Pasar Payang telah dirasmikan Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1968 yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong keempat.
Seorang lagi peniaga asal di situ, Ibrahim Mohamad, 75, berkata memori paling diingati ketika mencari rezeki di situ ialah kesibukan peniaga serta orang ramai memunggah barangan dari perahu ke pasar.
Bermula dengan mengambil upah mengangkut barangan, Ibrahim mula berjinak-jinak berniaga buah-buahan, bagi menyara isteri serta 15 orang anak yang masih kecil.
"Sekitar tahun 1960an hingga awal 80an, perahu atau bot adalah pengangkutan utama masyarakat seperti dari Paloh, Seberang Takir, Teluk Pasu dan Kuala Nerus yang datang membawa barang dagangan masing-masing.
"Pada masa itu buah-buahan dijual secara longgok sahaja, iaitu RM1 untuk 20 biji limau yang dibekalkan oleh orang kampung. Malah ketika itu penggunaan sukatan masih dalam unit tahil, kati dan pikul bukannya kilogram seperti sekarang," katanya yang tidak dapat menahan rasa sayu, apabila mengenangkan Pasar Payang yang bakal bertukar wajah.
Sungguhpun begitu, Ibrahim yang sudah lebih 50 tahun berniaga di situ tetap akur, dengan pelan pembangunan tersebut yang diharap dapat mengembalikan kegemilangan Pasar Payang, seperti suatu masa dahulu.
Nama Pasar Payang, yang beroperasi seawal 7 pagi hingga 6 petang itu, diambil sempena 'perahu payang' yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di negeri itu, dan pada awalnya ia hanyalah gerai berasaskan kayu dan dinaik taraf pada 1968.
Bangunan dua tingkat yang bakal dirobohkan itu, menjual pelbagai barangan di tingkat atas terutama kain batik dan songket asli Terengganu manakala di aras bawah mempunyai gerai menjual barangan basah serta pelbagai rempah ratus dan barang kemas.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Mar 03 2019
Pasar Besar Kedai Payang merupakan salah satu destinasi popular yang dikunjungi oleh para pelancong dari dalam dan luar negara. --fotoBERNAMA
[TERKINI] Ucapan sulung Trump di pentas WEF 2025
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyampaikan ucapan sulung di pentas Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davois, Switzerland secara dalam talian.
Pendakwa Raya ICC mohon waran tangkap terhadap pemimpin Taliban, Ketua Hakim Afghanistan
Pendakwa Raya ICC Karim Khan pada Khamis memohon waran tangkap untuk pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada, dan Ketua Hakim Negara sementara Afghanistan, Abdul Hakim Haqqani.
Rangkuman dan menjelang ucapan sulung Donald Trump
Lintas langsung bersama Editor Kanan Astro AWANI mengenai rangkuman WEF 2025 dan menjelang ucapang Sulung Presiden AS, Donald Trump dari Davos, Switzerland.
Micheal Martin disahkan sebagai Perdana Menteri baharu Ireland
Ketua Fianna Fail Micheal Martin telah disahkan sebagai perdana menteri Ireland yang baharu selepas undian di Dail, dewan rendah parlimen Ireland,.
Dasar liberal, Argentina yakin sokongan Trump dan global
Presiden Argentina Javier Milei berkata, negara itu tidak lagi bersendirian dalam memperjuangkan dasar liberal dan beliau merasakan sokongan daripada pakatan antarabangsa termasuk Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.
Trump dijangka beri ucapan secara dalam talian
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka memberikan ucapan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, pada Khamis.
Real Madrid jadi kelab pertama jana €1 bilion dalam satu musim
Real Madrid menjadi kelab bola sepak pertama mencatatkan pendapatan sebanyak €1 bilion (US$1.04 bilion) dalam satu musim, menurut laporan tahunan Deloitte Football Money League yang dikeluarkan pada Khamis.
Festival Musim Bunga: 25 anak panda buat penampilan sulung
Pengenalan dua kumpulan anak panda yang dilahirkan pada 2024 itu menjadi salah satu acara bagi sambutan Festival Musim Bunga China, yang antaranya turut menggariskan warisan budaya tidak ketara dan pemuliharaan panda.
Yoon Suk Yeol hadiri perbicaraan di Mahkamah Perlembagaan
Yoon, yang dipecat dan digantung kuasa telah ditahan sejak minggu lalu sementara penyiasat menyiasat percubaaannya pada 3 Disember untuk mengisytiharkan undang-undang tentera.
Polis Vietnam tumpas sindiket ubah wang haram AS$1.2 bilion
Polis Vietnam menahan lima individu dan berjaya menumpaskan sindiket pengubahan wang haram yang membawa masuk wang jenayah bernilai sekitar AS$1.2 bilion ke dalam negara.
UMT sedia geran RM500,000 tingkatkan usaha pemuliharaan penyu
Sebagai bukti UMT telah menyediakan geran penyelidikan sebanyak RM500,000 bagi tempoh dua tahun bermula tahun hadapan, untuk menggalak serta merancakkan lagi usaha konservasi penyu di negeri ini.
Pasar Payang bakal diroboh, 51 tahun penuh kenangan
Wajah Pasar Payang yang selama ini menjadi ikon di negeri itu pasti akan berubah apabila kerajaan negeri memutuskan merobohkan bangunan yang dibina sejak 1968 itu.