Kerajaan telah mengambil keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan PKPD di kawasan Pasar Jalan Othman (PJO) di Petaling Jaya, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam catatan terbaharu di Facebook miliknya berkata, keputusan tersebut dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM telah mengesahkan terdapat 26 kes positif COVID-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya, Selangor,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, arahan kelapan PKPD itu akan dilaksanakan di kawasan berikut:

Zon A​:
Jalan Penchala, Petaling Jaya
Jalan 4/33, Petaling Jaya
Jalan 4/37, Petaling Jaya
Jalan 4/39, Petaling Jaya
Jalan 4/41, Petaling Jaya
Jalan 4/44, Petaling Jaya
Jalan Terus 4/42, Petaling Jaya
Jalan 4/43, Petaling Jaya
Jalan 4/46, Petaling Jaya
Jalan Othman 4/4D, Petaling Jaya

Zon B​:
Jalan 2/29, Petaling Jaya
​​ Jalan 2/29A, Petaling Jaya
​​ Jalan 2/27, Petaling Jaya
​​ Jalan 2/32, Petaling Jaya
​​ Jalan 2/25, Petaling Jaya
​​ Jalan 2/26, Petaling Jaya
​​ Jalan 2/34, Petaling Jaya
​​ Jalan 2/34A, Petaling Jaya
​​ Jalan 2/23, Petaling Jaya
​​ Jalan Dispensary 2/38, Petaling Jaya
​​ Jalan Pasar 1/21, Petaling Jaya

Zon C​:
Jalan Selangor, Petaling Jaya
​​ Lorong 3/57D, Petaling Jaya
​​ Lorong 3/57C, Petaling Jaya
​​ Jalan RIDA 3/56, Petaling Jaya
​​ Jalan Sentosa 3/57, Petaling Jaya

“Perintah PKPD ini melibatkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan di kawasan berkenaan. Perintah ini akan berkuatkuasa mulai 10 Mei 2020 hingga 23 Mei 2020.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar," katanya.

Tambahnya, langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh PKPD ini berkuatkuasa.

Dengan pelaksanaan perintah itu, Ismail Sabri berkata, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Bagi penghuni dan pelawat, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

Selain itu, beliau berkata, semua aktiviti perniagaan di kawasan PKPD dihentikan, pangkalan perubatan dibuka di kawasan itu dan semua laluan keluar masuk ke kawasan itu akan ditutup.



Sumber Facebook ismailsabri60

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada para petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Petaling Jaya di talian 016-980 9389, atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Sebelum ini, PKPD telah dikuatkuasakan di tujuh lokasi iaitu di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor; Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor; serta empat lokasi di Kuala Lumpur iaitu Menara City One; Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion; Masjid India dan kawasan sekitarnya, serta Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Lokasi ketujuh PKPD adalah di Selayang Baru, Gombak di Selangor.