PAS Pusat telah mengarahkan seluruh Ahli Dewan Undangan PAS Negeri Selangor untuk meneruskan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bagi meneruskan khidmat kepada rakyat dan mengekalkan kedudukan kerajaan Selangor.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS Pusat telah mengarahkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad untuk memberitahu erkara itu kepada semua Ahli Dewan Undangan PAS Negeri Selangor.

“PAS sesungguhnya menyedari bahawa iklim kerjasama yang dibina dalam Pakatan Rakyat (PR) pada waktu ini adalah pada tahap yang paling mencabar dan berdepan dengan perbezaan prinsip yang memerlukan penyelesaian yang adil bagi memenuhi aspirasi seluruh rakyat yang mahukan perubahan.

“Bagi PAS, muafakat asal yang dibina adalah kebersamaan dalam perkara yang dipersetujui dan menjadi kepentingan bersama, manakala dalam masa yang sama mengiktiraf kewujudan perbezaan pandangan dan prinsip perjuangan parti masing-masing di kalangan parti dalam PR.

“Pendirian PAS terhadap kerjasama dalam PR adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS yang baharu sahaja berlangsung.

Antaranya dinyatakan dengan jelas, bahawa “PAS akan terus dan tetap melaksanakan Tahaluf Siyasi bersama Pakatan Rakyat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah”; dan juga nyata termaktub dalam Perlembagan PAS [Fasal 7(1)] bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ ulama dan Qiyas,” katanya di dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata kerjasama PAS dengan komponen dalam PR di Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

BACA: Sudah tiba masa untuk penubuhan parti Islam Demokrat baru

BACA: 'Ada pihak putar belit keputusan muktamar tentang hubungan PAS-DAP'

BACA: Tak perlu tunggu Wan Azizah untuk kata Pakatan Rakyat dah tiada - Kit Siang