Beliau memberitahu, bagi tujuan itu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM telah ke Sabah bagi memastikan kebajikan dan hal ehwal veteran yang masih belum mendaftar lagi itu diberikan perhatian.
"Sehingga kini, terdapat lebih kurang 9,000 orang veteran sedang menerima bantuan ini dan 97 peratus merupakan veteran ATM tidak berpencen.
"Veteran ATM berumur 80 tahun ke atas yang turut disenaraikan sebagai penerima Bantuan e-Kasih akan diberi keutamaan untuk menerima bantuan bulanan ini.
"Tapi masalah yang dihadapi adalah mereka yang tidak mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran, itu sebab kami memohon persatuan-persatuan ATM mencari dan mendaftarkan mereka yang belum lagi mendaftar.
"Kebanyakan yang tidak mendaftar adalah dari Sabah dan Sarawak, ramai... itu yang menghairankan kami," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian kepada soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai pelaksanaan BSH kepada veteran ATM yang tidak berpencen khususnya golongan B40.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, Kementerian Pertahanan memerlukan suntikan peruntukan kewangan tambahan sebanyak RM21.6 juta untuk memperluaskan bilangan penerima BSH daripada 9,000 orang kepada 15,000 orang secara bersasar.
Katanya, ia menunjukkan nasib warga Veteran ATM tidak berpencen dalam kategori B40 sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.
"Di samping itu, pelbagai penambahbaikan turut dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memastikan golongan ini tidak terjejas akibat peningkatan kos sara hidup," jelasnya.