CYBERJAYA: Parlimen Malaysia akan membincangkan isu pembebasan Palestin melibatkan pertubuhan badan bukan kerajaaan (NGO) pada 15 Mac ini.

Menurut Ketua Kaukus Persahabatan Malaysia-Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh, satu kaukus atau jawatankuasa mengenai isu Palestin dijangka dibentuk menerusi perbincangan itu.

"Dengan majlis dialog NGO dan Ahli Parlimen, akan diadakan 15 Mac ini (Rabu) dan dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

"Kita harap semua NGO boleh kemukakan pandangan dan cadangan bernas untuk diambil peranan oleh Ahli Parlimen.

"Saya jangkakan masing-masing (NGO) ada cadangan tindakan perlu dilakukan Ahli Parlimen dan insya-Allah akhir majlis tersebut, dengan restu daripada Speaker, kita akan tubuhkan satu fokus Parlimen yang berkait terus dengan perjuangan rakyat Palestin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Kempen Hari Al-Quds Sedunia 2023 yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Cyberjaya pada Ahad.

Pada program berkenaan, beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang turut menerima resolusi diserahkan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Azmi Abdul Hamid.

Hari Al-Quds Sedunia mula diraikan sejak 1979 lalu setiap hari Jumaat minggu terakhir pada bulan Ramadan bagi menzahirkan tanda solidariti antarabangsa kepada Palestin.