PARIS: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dilihat mempunyai peluang baik untuk mara ke separuh akhir temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Berdasarkan undian peringkat kalah mati diadakan di Porte de La Chapelle Arena malam tadi (awal pagi Selasa waktu Malaysia), pasangan nombor sembilan dunia itu bakal menentang gandingan nombor lapan dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun, Rabu ini.

Berdasarkan rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei mempunyai kelebihan apabila memenangi dua aksi terakhir daripada tiga perlawanan ke atas Won Ho-Na Eun.

Selepas tewas dalam aksi pertama menentang pasangan Korea itu pada Terbuka Jerman, Tang Jie-Ee Wei mencatatkan kemenangan di Kejohanan Asia dan Terbuka China, kesemuanya pada 2023.

Sekiranya melepasi halangan Won Ho-Na Eun, beregu negara akan bertemu pemenang beregu utama Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dan wakil Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet di pentas final.

Suku akhir lain bakal menyaksikan pertembungan sesama dua beregu China, apabila pilihan pertama Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong melawan pilihan kedua Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, manakala Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun mencabar Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.

Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A selepas mengejutkan Yan Zhe-Dong Ping, selain menewaskan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura dan Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat.

Sementara itu, pengurus pasukan Malaysia Datuk Teoh Teng Chor yakin bahawa beregu campuran negara mempunyai peluang baik untuk mara ke separuh akhir.

"Tetapi kita ambil langkah demi langkah... mudah-mudahan boleh meneruskan dari situ. Mereka beraksi dengan cemerlang, semoga akan terus fokus dan berehat secukupnya sebelum perlawanan.

"Pemain kita telah menampilkan prestasi luar biasa dan harap dapat mengekalkan momentum kerana ini adalah masa terbaik untuk membuktikan diri setelah sekian lama berlatih," katanya selepas majlis undian itu.

-- BERNAMA