Mereka jatuh dari paras 18 meter apabila kabel jambatan berusia 10 tahun itu terputus.
Susulan kejadian, tiga daripada mangsa mengalami kecederaan melibatkan patah bahagian paha dan betis, selain kecederaan tulang belakang.
Difahamkan kesemua mangsa menyusuri jambatan gantung tersebut untuk mendapatkan rangkaian internet bagi mengikuti kelas dalam talian di Kampung Gusi, Ranau.
Liputan internet
Kebergantungan terhadap perkhidmatan internet menjadi semakin ketara dalam kehidupan norma baharu, lebih-lebih lagi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac lalu.
Kebanyakan urus niaga termasuk sektor pendidikan yang biasanya dilakukan secara fizikal kini beralih kepada digital atau dalam talian.
Saban waktu, rungutan mengenai kesukaran mendapatkan liputan internet dalam kalangan rakyat memenuhi ruang media sosial dengan ada di antara mereka yang terpaksa mendaki bukit, memanjat pokok, bergayut di jambatan gantung, serta menggantung modem tanpa wayar di tiang yang dipacak tinggi bagi mendapatkan capaian.
Pun begitu, saya percaya hal ini bakal diatasi oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui pelbagai inisiatif seperti Projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB), Jalinan Digital Negara (Jendela), Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan lain-lain program berkaitan.
Jambatan gantung
Jambatan gantung sangat sinonim dengan masyarakat Sabah khususnya masyarakat yang tinggal di pedalaman yang masih bergantung terhadap terhadap penggunaannya bagi tujuan aktiviti harian dan ekonomi.
Lagu "Jambatan Tamparuli" ciptaan Justin Lusah pada tahun 1977 yang popular dan masih menjadi siulan dalam kalangan masyarakat Sabah khususnya etnik Kadazan Dusun adalah hasil inspirasi daripada jambatan gantung yang terkenal itu.
Jambatan gantung digunakan untuk menghubungkan tempat tinggal atau sesebuah kampung dengan jalan besar atau jalan utama yang selalunya dipisahkan oleh sungai atau gaung, selain turut digunakan sebagai tempat tarikan pelancong.
Penggunaan jambatan gantung adalah sangat tinggi dan meluas di Sabah kerana keadaan muka bumi negeri ini yang berbukit-bukau dan dikelilingi sungai.
Kebanyakan jambatan gantung yang ada adalah dibina secara gotong royong oleh penduduk setempat dengan kosnya dibiayai secara persendirian mahu pun daripada peruntukan kerajaan negeri serta Persekutuan.
Ini menjadikan kebanyakan jambatan gantung yang dibina tidak mempunyai sebarang reka bentuk serta penggunaan bahan binaan yang tidak mengikut spesifikasi keselamatan yang sewajarnya.
Malahan terdapat banyak aduan daripada masyarakat setempat tentang sebilangan besar jambatan gantung yang berada dalam keadaan usang atau uzur dan berusia kerana tidak diselenggara secara berkala, selain tiada kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Keadaan ini menjadikan penggunanya terdedah kepada pelbagai bahaya, termasuk risiko kematian seperti kejadian yang pernah menimpa seorang pelajar perempuan prasekolah di kampung Porotawoi, Tongod, Sabah pada Julai 2019 yang mati lemas selepas terjatuh dari sebuah jambatan gantung yang rosak.
Perkara ini boleh dielakkan jika langkah-langkah keselamatan diambil termasuklah rekabentuk dan penggunaan bahan binaan yang selamat, pemeriksaan berkala dan penyelenggaraan pencegahan kerosakaan.
Sebagai contoh dalam kes di Ranau ini, pada hemat saya, kabel atau wayar yang digunakan untuk membina jambatan tersebut gagal untuk menampung beban yang dikenakan ke atasnya lalu terputus.
Terdapat pelbagai kemungkinan mengapa ia boleh terjadi, antaranya disebabkan kerosakan struktur pada kabel berkenaan ekoran pendedahan pada cuaca (hujan dan panas) dan tidak diselenggara.
Penggunaan kabel melebihi had beban kerja (Work Load Limit – WLL) yang ditetapkan oleh pengeluar secara berulang kali juga akan mengakibatkan ia cepat rosak dan memendekkan jangka hayatnya.
Kejadian kabel putus ini dapat dicegah jika pemeriksaan berkala dilakukan seterusnya dapat menghindarkan kemalangan daripada berlaku.
Oleh kerana, ini adalah kejadian kedua melibatkan keselamatan awam yang direkodkan di negeri Sabah, maka kerajaan negeri disarankan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dengan kadar segera.
Ia bagi mendaftar, memeriksa seterusnya membuat penilaian tahap keselamatan terhadap kesemua struktur jambatan gantung yang ada di negeri itu (sama ada digunakan untuk aktiviti harian atau pun bagi tujuan rekreasi dan pelancongan) bagi memastikan peristiwa yang sama tidak berulang.
Penduduk setempat juga wajib memainkan peranan mengelakkan penggunaan jambatan gantung melebihi had beban yang ditetapkan.
Selain itu juga, mereka perlu mengambil perhatian terhadap kerosakan yang berlaku dan mengadukannya kepada pihak bertanggungjawab seperti Ketua Kampung, Penghulu, Pejabat Daerah dan lain-lain.
Ts. Mohd Soffian Osman ialah Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.