MENYAMBUT dan menjalani ibadat puasa Ramadan di Makkah dan Madinah pasti menjadi impian setiap orang Islam yang menyedari kelebihan kedua-dua Tanah Suci itu dan ganjaran pahala besar yang dijanjikan oleh Allah.

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia biasanya meluangkan masa kira-kira dua minggu di Makkah dan Madinah melalui pakej yang ditawarkan agensi pengendali perjalanan umrah.

Namun, berada di Makkah dan Madinah selama lebih sebulan pada Ramadan pastinya menjadi pengalaman yang unik dan mengujakan bagi mereka yang benar-benar berhasrat menghayati keindahan berpuasa di sana.

Itulah yang dikongsikan pengembara tegar, Ir Zainuddin Omar, yang berpeluang meluangkan masa agak lama menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Makkah, selepas bersara pada 2016.

Ratusan ribu, malah jutaan umat Islam memenuhi kawasan Masjidil Haram setiap hari pada bulan Ramadan. - Gambar/ FB Ir Zainuddin Omar

Menariknya, selepas 44 hari di Makkah pada Ramadan 2017, beliau yang juga penulis buku ​'Diari Kembara 40 tahun Si Kutuberahak', merindui pengalaman itu dan mengulanginya selama tiga tahun berturut-turut.

"Semasa zaman bekerja memang tak boleh cuti panjang dan tiada peluang untuk beramadan di tanah suci kecuali untuk seminggu dua. Apabila bersara pilihan pada 2016, setahun kemudian saya daftarkan diri dengan satu agensi umrah.

"Kebiasaan pakej umrah di bulan Ramadan adalah antara 12 hingga 16 hari yang menjadi pilihan jemaah Malaysia. Apabila berada di Makkah saya terjumpa ramai jemaah Malaysia yang menjalani ibadah umrah dan puasa selama sebulan Ramadan.

"Kebanyakan mereka adalah ‘veteran’ kerana hadir setiap tahun pada bulan Ramadan dan berhari raya di Makkah. Ramai dalam kalangan mereka berumur menjangkau 60-an hingga 80-an tetapi masih bersemangat dan bertenaga.

"Seorang makcik yang saya temui berumur 82 tahun, tetapi sudah 40 tahun datang setiap kali Ramadan sebulan di Mekah," katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook beliau.

Jemaah yang tidak dapat masuk ke kawasan Masjidil Haram menunaikan solat di atas jalan di sekitar masjid itu. - Gambar/ FB Ir Zainuddin Omar

Menjelaskan lanjut, katanya berada sebulan di Makkah pada Ramadan bukanlah perkara yang mudah.

"Cuaca panas antara 40 hingga 50 Celsius saperti berada di dalam sauna, boleh melunturkan semangat pergi ke masjid pada waktu zuhur dan asar.

"Kesesakan ribuan jemaah lain semasa berduyun-duyun ke masjid sangat meletihkan badan. Makanan dari katerer kebanyakan tidak bersesuaian dengan cita rasa orang Melayu.

"Mencari tempat bersolat di masjid sangat sulit apabila datang lambat dan terpaksa meminta belas ihsan jemaah lain untuk menyelit diri di antara mereka," katanya.

Beliau berkata, segala kesusahan itu sanggup dihadapi kerana dapat menikmati perasaan bahagia dan ketenangan yang sukar digambarkan.

Zainuddin (kanan) sentiasa merindui suasana berpuasa dan menjalani ibadat lain di Makkah. - Gambar/ FB Ir Zainuddin Omar

Beliau dalam pada itu memberikan beberapa tips bagi mereka yang ingin menunaikan ibadah umrah dan berpuasa sebulan pada Ramadan di Makkah.

1. Pemilihan agensi pengendali pakej umrah

Agensi perjalanan umrah besar selalunya tidak menawarkan pakej sebulan, hanya syarikat kecil menawarkan pakej sedemikian dengan jumlah jemaah antara 30 hingga 50 orang.

2. Kos

Kos biasanya berdasarkan jarak hotel dari Masjidil Haram. Hotel empat bintang berhampiran Masjidil Haram seperti di Zam Zam Tower, Al Shafwa Tower atau Hilton Tower pasti menarik, namun harganya agak tinggi.

Kebanyakan pakej sewa sebulan adalah hotel tiga bintang di kawasan Ajyad, antara 200 meter hingga 500 meter dari pintu masjid. 

Kos adalah antara RM14,000 hingga RM16,000 untuk pakej sebulan (pada 2017). Walaupun begitu ada yang menawarkan pakej berharga RM10,000 tetapi hotelnya agak jauh melebihi satu kilometer (km) dari masjid. Harga menjadi lebih murah bagi bilik yang dikongsi.

Harus diingat banyak hotel di Ajyad terletak di kawasan berbukit, elok ditanya secara terperinci kepada agensi umrah untuk persediaan.


3. Makanan

Makanan disediakan oleh katerer pihak hotel, bermakna agensi umrah tidak boleh memilih. Katerer biasanya adalah tukang masak Indonesia dan Patani. Difahamkan masakan tukang masak dari Patani lebih digemari orang Malaysia.

Ramai jemaah yang membawa makanan kering tambahan dari Malaysia sebagai pembuka selera.

4. Rutin harian

a. Dua jam sebelum subuh (4.15 pagi) jemaah ke masjid setelah bersahur di hotel.
b. Selesai subuh ramai yang pulang ke hotel iaitu sekitar jam 6 hingga 7 pagi untuk tidur.
c. Dua jam sebelum zuhur (12.15 tengah hari) jemaah menuju semula ke masjid.
d. Jemaah iktikaf sehingga maghrib dan berbuka puasa di masjid. Ada jemaah yang menunggu sehingga selesai solat tarawih jam 11.30 malam baru balik ke hotel untuk menjamah makanan.
e. Pada 10 malam terakhir Ramadan, solat qiam berjemaah di masjid mulai 12.45 tengah malam hingga 3 pagi. 
f. Jemaah bergegas balik ke hotel pada jam 3 pagi untuk sahur dan pulang semula ke masjid untuk solat subuh jam 4.15 pagi.

*Semua jemaah mempunyai rutin yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing.

5. Kesihatan

Demam, batuk dan selesema adalah penyakit biasa dan jemaah dinasihatkan membawa ubatan dari Malaysia kerana kos ubat yang tinggi di farmasi sekitar Makkah.

Jemaah juga dinasihatkan mengambil insurans perjalanan selama berada di tanah suci.

Air zam zam disediakan percuma di Masjidil Haram.

6. Kerusi lipat

Apabila duduk berjam-jam beriktikaf di masjid tentunya lenguh seluruh badan. Kerusi lipat yang disediakan di dalam masjid tidak mencukupi. Kerusi lipat berbagai jenis ada dijual di pasar raya Ben Dawood atau kedai-kedai kecil dengan harga berpatutan.

8. Penantian di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah

Menunggu adalah perkara biasa kerana ratusan ribu jemaah datang serentak semasa bulan Ramadan.
Jika bernasib baik, hanya perlu menunggu dua jam untuk melepasi imigresen namun ada yang menunggu empat jam bergantung kepada bilangan pendaratan kapal terbang.

9. 'Scam' di masjid

Dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ramai yang sasarkan orang Malaysia dengan meminta sedekah atau menceritakan cerita sedih untuk mengaut simpati dengan tujuan meminta wang.

'Be street smart’ dan nilaikan rayuan mereka ‘case to case basis’.

Kalau mereka tersangat susah dan memerlukan wang banyak untuk pulang, tentunya ada pusat zakat di Makkah dan Madinah yang boleh membantu golongan asnaf musafir ini. Makanan tidak menjadi masalah kerana sentiasa ada dermawan yang memberi makanan sabil setiap petang kepada gelandangan.

Umat Islam menunaikan solat di hadapan Kaabah.

10. Umrah di bulan Ramadan

Kebiasaan umrah dilakukan selepas solat tarawih pada jam 11.30 malam dan berakhir pada 4 pagi sebelum subuh.

11. Ruang kosong di masjid

Ruang berdekatan semua pintu utama memang sesak dengan jemaah beriktikaf dan solat. Berdasarkan pemerhatian, masih ada ruang kosong di kawasan penempatan jenazah dan kawasan antara Safa dan Marwah.

12. Hari Raya Aidilfitri di Makkah

Sejam sebelum waktu subuh semua pintu utama masjid ditutup. Jemaah boleh mencari pintu kecil sepanjang laluan Safa-Marwah dengan berpusing di jalan tepian istana raja.

Pada masa solat Aidilfitri, semua penduduk Makkah akan berduyun-duyun ke Masjidil Haram dan jumlah mereka boleh mencecah sehingga lima juta orang.

Jemaah yang tidak sempat ke masjid boleh bersolat di jalan raya yang selalunya penuh sepanjang satu km di sekitar masjid.

13. Kekuatan mental

Kita orang Malaysia memang tidak biasa dengan suasana bersesak-sesak dengan ramai manusia. Jemaah dari negara dunia ketiga juga agak kasar dan kadangkala jemaah Malaysia seperti dibuli.

Minda perlu kuat dan banyak bersabar apabila melaksanakan umrah dan berpuasa sebulan Ramadan di Makkah. 

Anggaplah semua sebagai sebahagian dugaan untuk mencapai keindahan beribadah di Masjidil Haram pada bulan Ramadan.