BRUSSELS: Wakil Kesatuan Eropah bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan Josep Borrell berkata ribuan nyawa bakal terancam sekiranya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) hilang pembiayaan.

Beliau menekankan bahawa UNRWA menjadi nadi bagi berjuta-juta rakyat Palestin yang diancam kebuluran dan wabak penyakit, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Borrell membuat kenyataan itu selepas beberapa negara bertindak menggantung pembiayaan untuk UNRWA pada minggu lepas.

Beliau berkata bahawa pemotongan dana untuk agensi bantuan PBB itu seakan-akan menghukum semua secara kolektif.

UNRWA dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat meneruskan operasi di Gaza dan kawasan sekitar selepas hujung Februari jika pembiayaan tidak diteruskan.

-- BERNAMA