ISLAMABAD: Malaysia dan Pakistan menyatakan komitmen untuk mengukuhkan perkongsian bermanfaat bersama termasuk meningkatkan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.


Ringkasan AI
  • Komitmen Perdagangan: Malaysia dan Pakistan komited untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala, termasuk meningkatkan import daging dan beras dari Pakistan.
  • Lawatan Rasmi: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berada dalam lawatan kerja selama tiga hari di Pakistan, di mana beliau disambut oleh Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dan mengadakan mesyuarat dua hala serta menandatangani memorandum persefahaman (MoU).
  • Kerjasama Tenaga Kerja Mahir: Malaysia akan meningkatkan kerjasama dalam memperkasakan tenaga kerja mahir, terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT), digital, dan kecerdasan buatan (AI).


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata antara perkara yang akan diberi perhatian dengan segera ialah Malaysia akan meningkatkan import daging dan beras dari Pakistan.

“Tentang pembelian daging, ia tidak sepatutnya menjadi masalah dan kami akan mengkajinya. Kami tetap membeli dari negara lain, jadi saya tidak melihat sebarang sebab kenapa kami tidak dapat membeli dari Pakistan. Tidak ada masalah dengan halal.

“Dalam seluruh perjalanan saya, Pindi, Karachi, Islamabad, Lahore, dan tentu Sari Mala Gardens (ini) yang saya suka... saya ingin membawa isteri saya dan menjadi lebih romantik di tempat itu (berseloroh). Kami tidak mempunyai masalah dengan halal.

“Tetapi kami akan melalui proses ini dan mempercepatkan pembelian dari Pakistan. Sama juga dengan beras. Kami akan membeli beras dari Pakistan.Kita telah menetapkan 100,000 tan. Kita akan melihat mekanisme harga dan sebagainya,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, di kediaman rasmi beliau hari ini.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di Pakistan tiba di Islamad malam tadi, dan disambut oleh Shehbaz sendiri di Pangkalan Udara Nur Khan, Rawalpindi.

Beliau diberi sambutan rasmi di Kediaman Perdana Menteri Pakistan, pagi ini, disusuli dengan mesyuarat dua hala, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan pelancaran tiga karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia juga akan meningkatkan kerjasama dalam memperkasakan tenaga kerja mahir terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT), digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Tentang kolaborasi dan pekerja mahir, kita akan menanti-nantikan kerana kita akan fokus kepada pekerja yang diperlukan untuk memenuhi permintaan baharu, pelaburan yang besar, mungkin yang terbesar di kawasan ASEAN, dalam bidang IT, digital, dan AI.

“Alhamdulillah, Malaysia adalah salah satu hab penting bagi industri semikonduktor. Kami boleh berkolaborasi dalam bidang itu juga,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shehbaz menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai seorang pemimpin yang hebat dan Malaysia menjadi contoh yang baik untuk diteladani.

“Hari ini, di bawah kepimpinan hebat anda, Malaysia sedang maju dengan cara yang menjadi contoh untuk diteladani. Pelaburan langsung anda semakin meningkat. Eksport anda juga semakin meningkat. Anda sedang membawa perubahan mendalam dalam tadbir urus termasuk ketelusan dan usaha memerangi rasuah,” katanya