Bagi mereka yang berpendapatan menengah, mereka boleh membeli rumah mampu milik. Walaupun ia mungkin tidak terletak di tengah-tengah bandar, namun mereka mempunyai wang ringgit untuk membuat pilihan.
Bagaimana pula nasib golongan rendah yang tidak mempunyai banyak pilihan dan peluang? Apatah lagi, wang yang ada hanya cukup sekadar untuk keperluan harian. Bak kata pepatah, kais pagi makan, kais petang makan petang.
Niat Pakcik Karim @ Untong Mohamad Zin hanyalah untuk memberikan keluarganya tempat berteduh. Bagi, Keselesaan keluarga menjadi keutamaan.
“Kita miskin, kalau ada duit lain ceritanya ... kita bolehlah beli rumah. Kalau sudah macam ini, kita bergantung kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sahaja,” kata Pakcik Karim sebagai pembuka bicara.
Rumah PPR Pinggiran Bukit Jalil yang didiami Pakcik Karim dan keluarganya sejak dua bulan ini serba sederahana namun siapa sangka pakcik Karim dan keluarganya menunggu hampir 20 tahun untuk menyewa rumah kos rendah DBKL itu.
Pakcik Karim dan keluarga kini menetap di PPR Pinggiran Bukit Jalil. Sumber Foto: Astro AWANI/Syafique Shuib
Ia bermula pada tahun 1993, ketika Pakcik Karim dan isteri Siti Mariam Mohd Haris, 60, menetap di sebuah flat di Kampung Pandan. Dengan empat anak ketika itu yang berusia dalam lingkungan tiga hingga tujuh tahun, rumah yang didiami mereka sekeluarga terpaksa dikosongkan.
Pakcik Karim tiada pilihan selain menumpang di rumah keluarga isterinya.
“Itu rumah flat juga dan begitu sempit. Saya tak boleh duduk ramai-ramai, tak suka. Jadi saya membuat keputusan duduk di bawah jambatan sahaja. Biar isteri dan anak-anak tinggal di rumah flat (milik keluarga isteri),” ujarnya.
Janji beliau kepada isteri dan anak-anak adalah untuk tinggal di bawah jambatan untuk empat bulan sahaja sementara mencari tempat tinggal yang baru untuk mereka.
“Saya pegang kepada janji itu. Ketika di bawah jambatan, saya tahu ini adalah untuk sementara waktu sahaja,” jelas beliau yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.
Jambatan di Kampung Pandan ini menjadi tempat berteduh pakcik Karim untuk empat bulan pada 1993. - Sumber Foto: Astro AWANI/Syafique Shuib
Apabila ditanya pengalamannya duduk di bawah jambatan, pakcik Karim akui beliau tidak pernah mengalami apa-apa masalah.
"Di dalam minda, saya cuma fikir mahu mencari rumah sahaja untuk menyatukan keluarga saya kembali. Saya juga tidak mahu menyusahkan orang lain,” kata pakcik Karim yang ketika itu meniaga kuih untuk menyara keluarganya.
Empat bulan berlalu, Pakcik Karim tidak pernah putus asa. Sehinggalah, apabila seorang pengerusi Masjid Ar-Rahimah di Kampung Pandan yang membenarkan Pakcik Karim dan keluarga tinggal di kawasan masjid.
“Pengerusi masjid itu merupakan kawan saya dan memberitahu bahawa terdapat tanah kosong di kawasan masjid tetapi tiada dinding. Saya cakap dengan beliau tiada masalah jika tiada dinding. Jadi saya kemaskan kawasan berkenaan dan ambil kayu dan bina sendiri rumah itu,” katanya.
Tanpa sebarang surat perjanjian, terdetik di hati Pakcik Karim untuk mendapatkan rumah kos rendah DBKL demi masa depan yang lebih terjamin.
“Kita kena (ber)fikir panjang. Kita tidak ada duit, tidak ada harta, tidak ada rumah yang tetap. Generasi akan datang nanti akan duduk mana.
"Jadi, saya ada pergi ke DBKL setiap tiga hingga empat bulan untuk memohon rumah kos rendah DBKL. Namun saya disuruh tunggu, tunggu dan tunggu,” kata beliau.
Penantian Pakcik Karim diuiji apabila jawatankuasa Masjid Ar-Rahimah memberi surat kepada beliau mengatakan masjid berkenaan akan melalui pengubahsuaian, menyebabkan Pakcik Karim dan keluarga harus keluar dari rumah mereka pada awal bulan Ogos lalu.
“Bila dapat surat itu beberapa bulan lepas, saya pergi lagi ke DBKL. Mereka suruh tunggu. Nak tunggu sampai bila? Saya kena kosongkan rumah pada bulan Ogos.
"Kemudian kawan saya memberitahu saya tentang Biro Aduan Komuniti (Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia). Saya berjumpa dengan mereka pada bulan April dan terus mendapat maklum balas. Dengan bantuan Biro Aduan Komuniti, saya membuat permohonan di DBKL pada awal Ogos dan mendapat tawaran pangsa bertempoh DBKL pada 26 Ogos,” tambah Pakcik Karim.
Walaupun gembira menerima kelulusan untuk menyewa di PPR Pinggiran Bukit Jalil itu, pakcik Karim tertanya-tanya bagaimana hendak membayar sewa bulanan berjumlah RM124 kerana beliau tidak mempunyai pekerjaan.
Dengan bantuan pihak Biro Aduan Komuniti, pihak Baitulmal bersetuju untuk membayar duit sewa berkenaan. Pakcik Karim bernasib baik kerana turut menerima bantuan kewangan sebanyak RM700 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan Baitulmal.
Setelah 20 tahun bersusah payah untuk mencari rumah di ibu kota, pakcik Karim berhasrat untuk melupakan kesusahannya di masa lampau.
“Saya tidak pernah kembali ke rumah lama (di Masjid Ar-Rahimmah). Saya sudah tidak ambil tahu. Buat apa kan? Biarlah orang nak buat apa. Hak diaorang kan?
Rumah Pakcik Karim di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandah sudah dirobohkan bagi projek bina masjid baharu dan sekolah. - Sumber Foto: Astro AWANI
Beliau juga mahukan enam anaknya yang kini berusia daripada 17 tahun hingga 28 tahun berjaya dalam hidup mereka.
“Saya mahu mereka belajar rajin-rajin. Nak sekolah tinggi-tinggi, saya tidak mampu. Duit tidak ada namun biarlah mereka dapat hidup berdikari. Saya pun sudah tua dan tidak larat lagi,” katanya.
Pakcik Karim turut bersyukur kepada Biro Aduan Komuniti kerana sebelum ini beliau lebih senang untuk berdiam diri.
“Saya tidak pandai nak ‘bising-bising’, pergi sana sini. Saya juga tidak suka kongsi tentang kesusahan saya kepada kawan-kawan. Takut mereka banyak mulut. Tidak mengapa, saya pergi ke DBKL terus.
"Dengan biro ini, kerja saya lebih dipermudahkan. Mungkin mereka yang sama nasib dengan saya tidak tahu tentang Biro sebegini dan mereka sememangnya membantu. Alhamdulilah,” ujar pakcik Karim mengakhiri perbualan.
Persoalan yang timbul adalah, apakah nasib individu yang senasib dengan Pakcik Karim?
Dalam kepesatan negara yang sedang membangun, apa akan terjadi kepada mereka yang tidak tahu tentang kewujudan saluran-saluran lain yang dapat membantu?
Tanpa wang yang cukup untuk membeli atau menyewa rumah, adakah adil untuk mereka terus merempat dari satu tempat ke satu tempat?