Pakatan Rakyat perlu menerima kekalahan dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan membuat persediaan untuk menghadapi PRU-14, kata pengarah esekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan
Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan dalam satu forum pasca PRU-13 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Beliau menjelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sepanjang tempoh bermula hari penamaan calon sehingga hari pengundian dan sebarang dakwaan yang dibuat oleh sesetengah pihak mengenai daftar pemilih tidak melibatkan SPR sebaliknya berpunca daripada jabatan pendaftaran negara.

"Isu melibatkan daftar pemilih tidak boleh disalahkan SPR kerana selagi nama individu itu masih ada ia bukan dibawah bidang kuasa mereka (SPR) untuk menghapuskannya sebaliknya ia adalah urusan Jabatan Pendaftaran.

"Bukan tugas SPR untuk menentukan individu yang memiliki kad pengenalan itu boleh menyanyi lagu Negaraku atau tidak," katanya yang turut menjadi pemerhati rasmi sepanjang kempen dan proses pengundia ketika PRU-13 yang lalu.

Wan Saiful menegaskan persepsi bahawa SPR tidak boleh dipercayai ditimbulkan oleh Pakatan Rakyat sejak sekian lama dan dakwaan-dakwaan yang timbul selepas PRU-13 merupakan jelmaan dari persepsi yang ditimbulkan sejak awal terhadap badan pengedali pilihan raya itu.

"Sejak Datuk Seri Najib mengambil alih pentadbiran pada 2009, Pakatan cuba bina persepsi bahawa SPR tidak boleh dipercayai dan di pihak Barisan Nasional pula cuba timbulkan bahawa Pakatan ganas.

"Kedua-dua pihak telah membina persepsi sejak sekian lama jadi apa saja dakwaan yang timbul selepas PRU-13 merupakan jelmaan dari persepsi yang ditimbulkan sejak awal," katanya lagi.

Sementara itu, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya pula berpendapat kejayaan UMNO menambah kerusi dalam PRU-13 bukan kerana kekuatan parti tersebut sebaliknya disebabkan permasalahan antara PAS dan DAP.

Beliau juga menasihatkan pemimpin PAS supaya membuat keputusan sama ada mahu kekal dengan formula lama iaitu Islam hak mutlak orang Melayu yang dipenuhi kepercayaan karut marut atau beralih kepada formula baru yang lebih diterima masyarakat umum.

"Jika Hj Hadi atau Haron Din atau Harun Taib mahu kekal dengan formula lama, tidak guna mereka berjuang menentang UMNO dan lebih baik mereka ini dari awal menyertai UMNO," katanya.

Seorang lagi ahli panel, Dr Thock Ker Pong juga dari Universiti Malaya pula berpendapat keputusan PRU-13 melihatkan MCA perlu memikirkan peranannya sebagai parti mewakili kaum cina.