ISLAMABAD: Polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan antikerajaan oleh penyokong bekas Perdana Menteri Imran Khan yang dipenjara, berhampiran kawasan D-Chowk, di sini, malam tadi.


Ringkasan AI
  • Polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan perhimpunan antikerajaan oleh penyokong bekas Perdana Menteri Imran Khan di kawasan D-Chowk, Islamabad. Beberapa orang, termasuk adik perempuan Imran, ditahan.
  • Kerajaan menyekat perkhidmatan telefon bimbit dan internet serta menutup banyak jalan menggunakan kontena untuk menghalang perhimpunan. Penyokong Imran berjaya melepasi sekatan ini.
  • Perhimpunan ini adalah sebahagian daripada siri protes oleh Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) untuk mendesak pembebasan Imran dan menentang kerajaan Shehbaz Sharif.
  • Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi menyatakan bahawa masa tidak sesuai untuk berhimpun kerana beberapa acara diplomatik, termasuk lawatan Perdana Menteri Malaysia dan mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).


Penyokong terbabit adalah sebahagian kecil daripada ribuan yang melepasi sekatan jalan raya besar-besaran polis di seluruh Islamabad bertujuan menghalang perhimpunan berkenaan semalam.

Kerajaan turut menyekat perkhidmatan telefon bimbit dan internet untuk menyukarkan komunikasi dan koordinasi menjelang perhimpunan, yang sebelum ini dijangka menjadi antara perhimpunan terbesar sejak Imran dipenjara pada 2023.

Dalam pertempuran dengan polis malam tadi, media tempatan melaporkan beberapa orang, termasuk adik perempuan Imran, ditahan.

Kawasan D-Chowk, yang terletak berhampiran pusat pentadbiran termasuk Parlimen Pakistan, dianggap kawasan merah dan dikawal rapi kerana dijadualkan menjadi lokasi utama untuk penyokong Imran berkumpul semalam.

Sekatan jalan raya diperkemas dengan banyak jalan ditutup menggunakan kontena bagi menghalang konvoi penyokong Imran, selain kerajaan menguatkuasakan larangan berhimpun di banyak kawasan.

Media melaporkan, perhimpunan ini adalah yang terbaharu dalam siri protes digerakkan oleh Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang diasaskan oleh Imran sejak bulan lalu untuk mendesak pembebasannya.

Mereka juga menentang kerajaan gabungan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Shehbaz Sharif, yang dianggap tidak sah, dengan alasan ia dibentuk selepas pilihan raya yang didakwa tidak adil.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi, ketika meninjau kawasan D-Chowk malam tadi dilapor berkata, penyokong terlibat mempunyai hak untuk berhimpun tetapi sekarang bukan masa yang sesuai.

Beliau merujuk kepada beberapa acara diplomatik di ibu negara itu termasuk Lawatan Negara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berakhir pagi semalam.

Islamabad akan turut menjadi tuan rumah mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) pada 15 hingga 16 Oktober ini.

Acara itu juga dijadualkan dihadiri oleh Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar, yang merupakan menteri luar India pertama melawat Pakistan dalam tempoh hampir sedekad, di tengah-tengah hubungan yang masih tegang antara kedua-dua negara.