Penaung Persatuan bagi Menghalang Kekejaman Terhadap Haiwan Selangor (SPCA Selangor), Tan Sri Lee Lam Thye berkata pemergian Pak Mie merupakan satu kehilangan besar bagi pencinta haiwan.

"Pak Mie seorang yang benar-benar prihatin dengan haiwan terutama anjing dan kucing, dan ia dibuktikan dengan penjagaan yang dibuatnya sejak bertahun dahulu, ia merupakan kehilangan dan tidak ada penggantinya," jelasnya.

Dalam pada itu, pengikut laman Facebooknya tidak henti-henti mengucapkan takziah dan bersimpati terhadap keluarga Pak Mie.

"Berehatlah dengan penuh aman, bawa cinta semua haiwan itu ke syurga, semoga legasi Pak Mie diteruskan," kata seorang pengikutnya.

"Pak Mie insan terbaik dan tidak akan dilupakan, Pak Mie akan dikenang selama-lamanya," jelas seorang lagi pengikut di laman Facebooknya.

Pada Ogos 2013, Astro AWANI pernah menyiarkan kisah sepasang suami isteri yang menyerahkan diri mereka kepada tanggungjawab dan belas kasihan untuk membela kira-kira 700 ekor anjing dan lebih 100 kucing terbiar di sekitar Alor Setar.

Sepanjang waktu itu, bekas kontraktor, Md Azmi Ismail, dan isterinya Halija Idris tabah membawa pulang haiwan berkenaan yang sakit, cacat, tua dan pelbagai masalah lain untuk dijaga dan diberi penjagaan sebaik mungkin.

Md Azmi atau lebih mesra dipanggil 'Pak Mie' pada waktu itu menganggap apa yang dialakukannya dan isteri untuk memelihara serta menguruskan haiwan ini merupakan satu tanggungjawab malah sudah lebih dua puluh tiga tahun mereka menguruskan haiwan-haiwan ini bersama.

Kata Pak Mie pada masa itu, semua anjung dan kucing di bawah jagaan mereka ditanggung sepenuhnya tanpa meminta bantuan daripada mana-mana pihak.

Malah anjing yang dipelihara dan dipelihara dijaga sehingga mati manakala bagi penyakit yang tak dapat dirawat haiwan ini akan dihantar ke klinik haiwan untuk rawatan lanjut.

Namun, kasih sayang Pak Mie kepada haiwan-haiwan ini sampai ke noktahnya selepas Pak Mie menghembus nafas terakhir meninggal dunia malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang pada lewat malam Ahad.

Menurut laman sosial facebook 'Pak Mie Shelter', Allahyarham yang berusia 57 tahun mula kritikal sejak Khamis minggu lepas selepas diserang angin ahmar dan pendarahan otak.

Pak Mie dipindahkan ke Hospital Ampang selepas pada mulanya dirawat di Hospital Tentera Sultan Mizan di Wangsa Maju.

Keadaan Pak Mie semakin kritikal selepas laman sosial Facebooknya mencatat status 'Ubat dimasukkan ke jantungnya dihentikan. Hanya Allah yang mampu selamatkan Pak Mie', pada masa itu hanya doa dipanjatkan oleh pengikutnya di laman tersebut.



Pak Mie akan dikenang sebagai seorang insan yang menghabiskan kehidupannya untuk membela beratus anjing dan kucing di Alor Setar - Gambar Facebook Pak Mie Shelter

Pak Mie dan isterinya telah menjaga beratus-ratus anjing dan kucing terbiar sejak 1990.

mereka meletakkan haiwan berkenaan di rumah mereka di Alor Setar selain beberapa kali pernah diancam pindah oleh pihak berkuasa.

Cerita mereka menjadi viral pada 2013 dan sejak itu ramai yang sudi memberi bantuan untuk penjagaan haiwan-haiwan berkenaan.

Jenazah Pak Mie dibawa dan dikebumikan di Masjid al-Bukhary di Alor Star pada Isnin.