KUALA LUMPUR: Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin mengakui antara cabaran utama pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) ialah aksesnya kepada penduduk di luar bandar yang mempunyai batasan maklumat dan literasi digital.

Namun, penggemblengan tenaga seluruh negara daripada pelbagai pihak telah digerakkan bagi mendapatkan info dan data rakyat semaksimum mungkin, bertujuan untuk pengagihan subsidi yang lebih adil.

“Antara cabaran yang kita lihat bagaimana pastikan ia dapat diselesaikan semaksimum mungkin dan seramai mungkin, kalau lebih 100% lebih baik, antara cabaran yang kita lihat untuk capai perkara ini kemungkinan kita perlu berada di seluruh pelusuk negara,”katanya dalam diskusi pada Rabu di AWANI Pagi.

Beliau tegaskan, sistem PADU merupakan projek nasional yang memerlukan kerjasama di semua peringkat lapangan.

Justeru kerjasama bersama kerajaan negeri, agensi kerajaan, dan kesemua wakil rakyat peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga telah digerakkan supaya menjadi fasilitator lapangan, bagi penerangan kepentingan sistem PADU kepada negara.

“Sehubungan ini, saya pasti setiap rakyat negara yang perlukan penerangan lanjut, mungkin kurang literasi IT, kita akan adakan kerjasama strategik dengan agensi lain seperti JAPEN, Maklumat dan Info on Wheel, bagi mereka bergerak ke kawasan yang padat dengan penduduk bagi menrangkan kepentingan pelaksanaan PADU ini,”jelasnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semalam berkata Kerajaan akan menggerakkan pasukan 'flying squad' bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada mendaftar PADU khususnya di kawasan pedalaman.

Pasukan tersebut akan digerak dari minggu ke minggu ke kawasan tertentu berdasarkan prestasi kemas kini pendaftaran pada minggu pertama, yang bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

Kata Rafizi, pendaftaran PADU juga boleh dilakukan di Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) atau Pusat Ekonomi Digital (PEDi).