PADANG TERAP: Daerah Padang Terap bakal dijadikan sebagai hab utama pengeluaran durian kampung dalam usaha mengkomersialkan raja buah itu selain mampu menjadi antara tarikan pelancong ke negeri Kedah.

Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Abd Ghani Zulkifli berkata, Unit Pelancongan Daerah Padang Terap bersama Jabatan Pertanian Kedah sedang mengenal pasti durian baka kampung yang berkualiti terbaik di daerah itu untuk dijenamakan.

Menurutnya, durian yang terdapat di sini merupakan durian kampung dan tidak mempunyai nama seperti di sesetengah tempat seperti Durian Balik Pulau atau Durian Batu Kurau yang kini menjadi sebutan.

Katanya, terdapat beberapa jenis durian yang mampu untuk dikomersialkan di daerah ini.

"Satu komponen adalah sudah tentu, pertanian. Kita nak juga Padang Terap ini dikenali sebagai kawasan yang menghasilkan durian yang mungkin terbaik, yang itu objektif kita.

"Tetapi apa pun saya kena berbincang dengan Jabatan Pertanian untuk mendapatkan satu klon atau pun satu jenis durian yang kita boleh jadikan identiti kepada Padang Terap ini," katanya.

Abd Ghani berkata, semua kriteria tersebut akan dilihat dan dibantu oleh Jabatan Pertanian sebelum keputusan akhir dimuktamadkan.


Katanya, banyak pokok durian yang ditanam oleh pekebun antaranya di Perik, Pedu, Naka dan Padang Sanai.

Sementara itu bagi pemilik kebun durian, Datuk Ahmad Mad Daud, langkah itu amat baik kerana ini dapat meningkatkan lagi sektor pelancongan di negeri Kedah untuk menarik pelancong setiap kali musim buah-buahan tempatan.

Katanya, ini secara tidak langsung meningkatkan ekonomi pekebun.

"Dalam dusun ini sahaja saya ada 60 pokok saya ada dusun saya di luar ada lagi tiga, satu itu 12 ekar ada lebih kurang 200 pokok.

"Jadi yang ini bantu menyokong yang di luar itu," katanya.