Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Ariffin kesal dengan segelintir pengamal media yang melaporkan kenyataan berselorohnya ketika sidang media PAC di Parlimen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hasan memaklumkan rasa dukacitanya kerana usaha mewujudkan suasana mesra di kalangan pengamal media tidak dihargai segelintir petugas media.

Jelasnya, walaupun beliau hanya bergurau kepada pihak media ketika satu sidang akhbar yang diadakan pada 18 November sebelum keluar makan meminta supaya ia tidak ditulis, namun ada segelintir di kalangan pengamal media yang bertindak di luar jangkaan dengan melaporkannya di portal berita dan akhbar.

Sehubungan itu, bermula pada Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen
Malaysia pada 23 November 2015, PAC tidak akan mengadakan sebarang sidang akhbar lagi di Parlimen.

Kenyataan itu juga menyebut sebarang maklumat yang hendak atau perlu diberitahu kepada media akan dimaklumkan melalui kenyataan rasmi.

Pada sidang media semalam, Hasan dilaporkan berkata: 'janganlah, saya pun nak cari makan juga' ketika diasak soalan sama ada PAC akan memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang tidak menjelaskan maksud terperinci apa yang dikatakan, telah menyebabkan beberapa portal berita melaporkan perkara tersebut dengan tafsiran berbeza.

Pada sidang media sama, Hasan menyatakan tiada keperluan untuk pihaknya memanggil Najib untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut berhubung siasatan 1Malaysia Developmenet Berhad (1MDB).

Malah, katanya isu RM2.6 bilion ringgit tiada langsung kaitan dengan 1MDB.